Sabtu, 16 April 2011

Pusat Pengundian DUN Satok Kecoh

TVS NEWS

KUCHING : Proses pengundian bagi pilihan raya negeri Sarawak sedikit tercemar apabila berlaku kekecohan di Pusat Undi Dewan Datuk Merpati Jepang bagi Dewan Undangan Negeri Satok pagi tadi.

Beberapa individu yang mendakwa diri mereka sebagai ejen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa cuba mencetuskan provokasi di dalam kawasan 50 meter tempat mengundi pada jam 11 pagi tadi.

Difahamkan mereka juga turut bertanya kepada pegawai polis di situ mengapa seorang lelaki yang memakai Kemeja-T BN, dibenarkan masuk ke dalam pusat pengundian.

Bagaimanapun kehadiran mereka dihalang oleh timbalan menteri BN, Datuk Fadillah Yusof dan cuba menarik beberapa ejen itu keluar dari kawasan terbabit sehinga menyebabkan seorang daripada mereka memintanya supaya tidak mengasarinya.

"Berhenti tolak saya, hormati undang-undang!" kata lelaki itu.

Fadillah kemudiannya menarik pas SPR dari lelaki itu, yang kemudian meminta pihak media mengambil gambar kad tersebut.

Insiden jerit-menjerit berlaku, menyebabkan seorang penyokong BN tampil memberitahu lelaki itu "Awak tidak menghormati YB!"

Lelaki itu kemudiannya dihalang oleh orang lain yang memberitahunya: "Ini pusat pengundian, bukan gelanggang bergaduh."

Keadaan bertambah kecoh apabila penyokong BN dan PKR enggan keluar dari kawasan berkenaan walaupun diarahkan oleh polis supaya beredar.

Ia menyebabkan sepasukan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa dikerah meleraikan keadaan.

Kira-kira sejam kemudian, pihak polis berjaya meleraikan pertikaman lidah membabitkan penyokong kedua-dua parti.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menunaikan kewajipan sebagai pengundi di pusat undi yang ini pada jam 11.25 pagi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan calon PKR, Ahmad Nazib Johari.

Tiada ulasan: