Ahad, 17 April 2011

PRN Sarawak: TPM Mahu SUPP Kaji Punca Kalah Teruk

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin mahu Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menjadikan keputusan pilihan raya Sarawak ke-10 sebagai iktibar oleh kepimpinan parti berkenaan.

Beliau berkata, parti itu perlu meneliti dari pelbagai faktor punca kekalahan teruk calon mereka di 13 daripada 19 kerusi yang ditandingi.

"Seperti biasa setiap parti yang bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) akan membuat kajian mereka.

"Pastinya SUPP yang menghadapi banyak kekalahan akan meneliti sebab musabab dari sudut yang pelbagai sama ada (faktor) dalaman parti, kepimpinan, peranan wakil-wakil mereka ataupun masalah sikap pengundi bandar," katanya pada sidang media di kediaman Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya di sini Sabtu malam.

Pada pilihan raya Sarawak kali ini, SUPP menghadapi tamparan hebat apabila Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Tan tewas kepada calon DAP, Ling Sie Kiong di DUN Piasau, Miri dengan majoriti 1,590 undi.

Ling memperoleh 5,998 undi manakala Dr Chan pula meraih 4,408 undi.

Keputusan ini adalah kejutan terbesar dalam pilihan raya negeri ke-10.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata keputusan berkenaan bukan penghujung kepada masa depan SUPP.

"Saya percaya ini bukan penghujung kepada SUPP, ini sebagai satu iktibar yang pastinya akan diambil kira oleh pimpinan parti itu dan Tan Sri Abdul Taib sendiri mengenai apakah yang perlu dibuat untuk memperkukuhkan parti ini," katanya.

Tiada ulasan: