Jumaat, 15 April 2011

PRN Sarawak: Pembangkang Optimis Nafi Penguasaan BN

KUCHING: Menjelang hari pengundian esok, Pakatan Rakyat optimis dapat menafikan penguasaan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Sarawak ke-10.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS masing-masing sedang menggandakan usaha bagi tujuan itu.

"Kami optimis dapat capai lebih jauh daripada itu, kami sedang berusaha untuk dapat lebih daripada sasaran iaitu bagi menafikan dua pertiga BN dan juga manopoli mereka dalam kerajaan negeri," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Pada pilihan raya Sarawak ke-10 ini, Pakatan Rakyat bertanding di 69 kerusi daripada 71 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Daripada jumlah itu, PKR meletakkan calon di 49 kerusi, DAP (15) dan PAS (5).

Bagaimanapun ditanya sama ada Pakatan Rakyat mampu membentuk kerajaan pada pilihan raya kali ini, Anwar yang juga Penasihat PKR berkata: "Kita sedang berusaha ke arah itu dan kita juga risau dengan perkembangan dalam tempoh beberapa jam lagi."

Mengulas lanjut Anwar berkata, sokongan yang diterima Pakatan Rakyat bukan sahaja dapat dilihat di kawasan bandar namun gelombang perubahan juga turut dirasai di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

"Bukan sahaja di kawasan bandar yang majoritinya masyarakat Cina, namun kita juga dapat sokongan di kawasan yang majoritinya orang Iban, Melanau serta kampung-kampung tradisional Melayu," katanya.

Tiada ulasan: