Ahad, 10 April 2011

Polis Siasat Kandungan Telefon Bimbit Sarbani

Ditulis oleh Shakira Buang



KUALA LUMPUR : Kandungan maklumat dalam telefon bimbit penolong pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang ditemui mati di tingkat satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, Rabu lalu, kini dalam siasatan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, telefon bimbit milik Allahyarham Ahmad Sarbani antara bukti yang disiasat Unit Forensik selain rakaman CCTV bangunan pejabat itu dan bukti di tempat kejadian.

"Unit Forensik akan mencari bukti-bukti penting bagi melengkapkan laporan tersebut termasuk dari telefon bimbit, CCTV mahupun di tempat kejadian,"katanya.

Menurut Ku Chin Wah, akan ada petunjuk baru setiap hari, namun ia tidak boleh didedahkan kerana boleh menganggu siasatan.

Katanya, sejak kes itu dilaporkan, pihaknya telah menjalankan sisatan terperinci serta memanggil beberapa individu baru untuk diambil keteranganya bagi membantu siasatan.

Rabu lalu, Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang ditahan semalaman pada 1 April bagi membantu siasatan rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram, ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

Ahmad Sarbani adalah antara 62 pegawai kastam yang ditahan SPRM dalam Operasi 3B pada 1 April lepas di Pejabat Kastam, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: