Rabu, 27 April 2011

Polis: Kami masih runding dengan Raja Petra, belum ada keterangan

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR— Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya belum mengambil keterangan Raja Petra Kamarudin walaupun telah bertemu dengan editor portal Malaysia Today itu di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Khalid menjelaskan pertemuan polis dan Raja Petra itu hanya “perjumpaan biasa” kerana ia berlangsung di sebuah hotel tempat Raja Petra menginap.

Dipetik Bernama Online, beliau berkata kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhad apabila berada di luar negara kerana keterangan hanya boleh diambil di pejabat kedutaan Malaysia di negara terbabit.

“Ia hanya perjumpaan biasa dan pada masa itu RPK bersetuju untuk hadir ke pejabat kedutaan itu untuk memberi keterangan pada hari lain,” katanya ketika ditanya mengenai perjumpaan PDRM dan Raja Petra di Bangkok baru-baru ini.

Laporan Bernama semalam menyebit Raja Petra (gambar atas) kini disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu berhubung akuan bersumpahnya mengaitkan Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu, empat tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata pengendali portal ‘Malaysia Today’ itu disiasat mengikut seksyen itu setelah keterangan diambil daripadanya semasa beliau berada di Bangkok dua hari lepas.

Keterangan itu diambil oleh pegawai polis Bukit Aman yang ditugaskan untuk bertemu Raja Petra di negara itu ketika majlis pelancaran Pergerakan Bebas Sivil Malaysia (MCLM) di mana beliau merupakan pengerusinya.

Bakri berkata pihak polis juga sedang giat menjalankan siasatan berdasarkan keterangan Raja Petra selain keterangan daripada beberapa individu lain yang berkaitan dengan kes tersebut.

Dalam temu bualnya dengan TV3 yang disiarkan pada 13 dan 14 April lalu, Raja Petra mendedahkan bahawa akuan bersumpah beliau pada 2008 yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan itu adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, daripada menjadi Perdana Menteri.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah seluruh negara di Petaling Jaya hari ini, Khalid (gambar kiri) berkata Raja Petra pada mulanya mahu bekerjasama dengan polis namun “tiba-tiba berubah fikiran atas sebab-sebab tertentu”.

“Kita masih berunding dengan RPK (Raja Petra) supaya dia memberi keterangan berhubung kes itu,” katanya.

Polis Bukit Aman baru-baru ini ditugaskan mengambil keterangan Raja Petra selepas satu laporan polis dibuat Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berhubung pengakuan penulis blog itu bahawa beliau tidak pernah menuduh Najib dan Rosmah terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Raja Petra turut mendedahkan beberapa nama yang didakwanya memberi maklumat berkenaan kepada beliau.

Ahad lepas, Raja Petra dalam satu dialog dengan Pergerakan Bebas Sivil Malaysia (MCLM) berkata PDRM pada mulanya mahu menemu bual beliau di Kedutaan Malaysia di Bangkok, namun atas nasihat para peguamnya, beliau telah mengubah tempat ke ‘kawasan neutral’ iaitu hotel tempat beliau menginap.

Semasa perjumpaan itu, Raja Petra mengulangi pendiriannya bahawa beliau dituduh secara salah memandangkan beliau tidak membuat dakwaan terhadap Rosmah dan dua yang lain tetapi terhadap sumbernya, seorang anggota tentera berpangkat kolonel yang memberinya maklumat.

Sementara itu, mengulas mengenai saman ekor yang diuar-uar akan dihentikan, Khalid berkata saman ekor kepada pesalah trafik tetap diteruskan.

“Apa jua saman yang dikeluarkan adalah mengikut undang-undang, jadi tidak ada sebab saman-saman yang dikeluarkan sebelum ini dibatalkan. Kita cuma berhenti menyaman daripada ‘balik tiang’,” katanya.

Beliau berkata polis akan menyaman pesalah secara berdepan dan terbuka.

“Kita letak papan-papan kenyataan yang jelas supaya orang tahu di depan sana ada perangkap laju, jadi dari situ pengguna lebih berhati-hati memandu,” katanya.

Tiada ulasan: