Sabtu, 16 April 2011

PKR dakwa SPR tak serah salinan Borang 14

DEBRA CHONG

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menyerahkan salinan Borang 14 kepada ejen pengundian Pakatan Rakyat di dua kerusi ditandingi parti itu.

Ahli Biro Politik PKR Sivarasa Rasiah berkata, Borang 14 adalah borang yang mengesahkan jumlah rasmi yang dikira di setiap saluran undi dan SPR tidak memberikan kepada ejen pengundian Pakatan Rakyat – aduan telah diterima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan dan Asajaya.

“Pakatan (Rakyat) telah menerima maklumat pegawai SPR yang bertugas di pusat-pusat mengundi tidak memberi salinan Borang 14 kepada ejen pengundian Pakatan Rakyat.

“Tujuan Borang 14 ini adalah untuk mengelak daripada berlaku sebarang manipulasi selepas undian dikira. Di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, pegawai perlu memberikan salinan Borang 14 kepada ejen calon yang bertanding.

“Seksyen 4 (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyebut ia adalah satu kesalahan jenayah. Mana-mana alasan kerana tidak memberikan Borang 14 adalah satu kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pihaknya mengingatkan SPR agar mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai badan itu bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR dan pegawai-pegawai yang terlibat kerana bertindak begitu.

“Kami juga mahu mengingatkan Barisan Nasional (BN) sebarang percubaan yang bertentangan dengan undang-undang selepas pukul 5 petang akan ditolak,” katanya.

Proses pengundian di kesemua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri yang menyaksikan persaingan sudah berakhir dengan pilihan raya negeri ke-10 kini memasuki fasa seterusnya – proses pengiraan.

Sebanyak 1,413 pusat pengundian telah ditutup setakat 4 petang tadi manakala yang baki sejam kemudian.

SPR menyediakan 1,748 pusat pengundian.

Proses pengundian pada keseluruhannya berjalan dengan lancar tetapi keputusan-keputusan tidak rasmi menunjukkan banyak memihak kepada Pakatan Rakyat tetapi BN disebut-sebut akan mengekalkan kuasa yang diwarisi sejak 1963.

Tiada ulasan: