Khamis, 14 April 2011

PKFZ : Perbicaraan Ditangguh 28 Jun

TVS NEWS


SHAH ALAM : Perbicaraan kes melibatkan tiga individu yang dituduh membuat tuntutan palsu dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang sepatutnya bermula di Mahkamah Sesyen hari ini ditangguhkan apabila seorang daripada tertuduh tidak hadir.

Hakim Asmadi Husin menangguhkan perbicaraan hari ini setelah dimaklumkan oleh peguambela Hisham Teh Poh Teik bahawa anak guamnya, Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd, Stephen Abok, 53 tidak dapat hadir untuk perbicaraan kerana diserang cirit- birit.

Hisham berkata Abok memberitahunya bahawa beliau mendapat cuti sakit selama dua hari bermula semalam.

Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Ketua Unit Pelucuthakan Harta Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad memohon supaya perbicaraanbermula pada 28 Jun ini dan dipersetujui oleh hakim.

Hisham bagaimanapun belum menyerahkan sijil cuti sakit Abok kepada mahkamah.

Abok, 53, bersama bekas Pengurus Projek Kuala Dimensi, Law Jenn Dong, 52, dan arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect, mengaku tidak bersalah pada 8 Nov lepas terhadap 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd melibatkan pembayaran RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi berkaitan dua projek mengenai infrastruktur bekalan elektrik di PKFZ.

Abok dan Tan juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi tuduhan pilihan iaitu menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja infrastruktur elektrik bagi sistem 33 kilovolt ke Presint 2 dan Presint 8 dalam projek itu telah dilaksanakan.

Tindakan itu telah mendorong OSK Trustees membuat bayaran RM5.42 juta kepada Kuala Dimensi.

Sebelum ini, Abok dan Tan mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan asal menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 Sept 2007.

Tan dan Law pula menghadapi 24 pertuduhan asal menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi melibatkan dua projek antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008.

Tiada ulasan: