Sabtu, 30 April 2011

PINDAHKAN RAKYAT MALAYSIA, PANGGGIL PERSIDANGAN OIC

http://buletinonline.net/images/stories/berita46/354051-syria-politics-unrest.jpgBULETIN ONLINE


Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) menggesa Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Syria untuk memindah atau membawa pulang pelajar dan rakyat Malaysia di sana. Keadaan yang semakin meruncing dan tidak menentu di Damsyik sekarang di atas bantahan dan tunjuk perasaan rakyat Syria yang menggesa Presiden Bashir Asad untuk berundur semakin tinggi.

Laporan rasmi ketika ini seramai 450 rakyat telah menjadi korban pro-demokrasi yang bermula sejak 6 minggu lalu. Namun laporan tidak rasmi memberitakan sudah hampir mencecah 1000 orang. LA DPPP khuatir dengan tindakan dan tindak balas kerajaan Syria melalui tentera dan polis terhadap penunjuk perasaan dan rakyatnya akan membahayakan rakyat Malaysia di sana yang terdiri daripada penuntut-penuntut di pusat pengajian tinggi dan professional yang bekerja disana.

Kejadian tembak-menembak yang dilepaskan secara rambang oleh tentera untuk menyuraikan protes rakyat boleh membahayakan umum. Dengan komunikasi di kawasan-kawasan utama di Syria telah disekat oleh pihak berkuasa dari dunia luar juga merisaukan rakyat Malaysia terhadap nasib dan keselamat keluarga serta anak-anak mereka yang sedang berada di Syria.

LA DPPP menggesakan Kerajaan Malaysia mengambil langkah pro-aktif dengan memindahkan warga Malaysia ke kawasan yang agak selamat seperti Jordan atau terus membawa mereka pulang sekiranya kerajaan Malaysia tidak boleh menjamin keselamat mereka. Suasana di Syria dilihat lebih terancam berbanding Mesir kerana pihak berkuasanya dilihat mengambil langkah balas dengan cara kekerasan sehinggakan mana-mana tentera yang enggan melepaskan tembakan kepada penunjuk perasaan akan diambil tindakan keras.

Sumber memberitahu ramai tentera dan polis yang bersimpati dengan penunjuk perasaan juga tidak terkecuali menjadi mangsa tembakan rambang tentera. LA DPPP menyeru Menteri Luar, Datuk Anifah Aman agar segera mengeluarkan kenyataan jaminan kerajaan Malaysia terhadapa keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di Syria dengan kadar segera.

Malaysia juga melalui Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) di lihat telah gagal dalam menangani kemelut di Timur Tengah yang semakin meruncing hari ini. LA DPPP juga menggesa satu sidang tergempar OIC perlu diadakan segera untuk membincangkan kemelut di Negara-negara umat Islam ini bagi menyekat pihak tertentu terutamanya Amerika yang dilihat sudah mula mengambil kesempatan untuk campur tangan.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Pengerusi,
Lajnah Antarabangsa,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: