Jumaat, 15 April 2011

Pilihan Raya Sarawak Sukar Daripada Aspek Logistik - SPR

BERNAMA

KUCHING: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pengurusan pilihan raya di Sarawak lebih sukar daripada di Semenanjung daripada segi logistik, bagaimanapun lebih mudah daripada aspek kemanusiaan.

Katanya penduduk di Sarawak mempunyai nilai yang tinggi seperti hormat-menghormati, tidak menggunakan perkataan yang tidak elok dan mementingkan keharmonian serta keamanan selain tidak menggunakan provokasi.

"Ini berbeza di Semenanjung kerana ada pengundi dan penyokong suka mengeluarkan perkataan yang kesat, caci mencaci dan bahasa isyarat. Nilainyaberbeza.

"Waktu penamaan calon (6 April) saya lalu di hadapan penyokong sebuah parti. Saya tak kena boo atau dikatakan perkataan yang menyakitkan hati. Kalau di Semenanjung saya selalu kena boo, kena caci. Sini tak ada semua tu...mungkin orang di sini dah biasa terima etnik dan sensitiviti yang berbeza," katanya kepada Bernama dalam satu temubual eksklusif di sini Jumaat.

Beliau berkata menguruskan pilihan raya di Sarawak mencabar daripada aspek logistik kerana muka buminya yang bergunung-ganang dan sungai yang besar, yang perlu dihadapi petugas SPR.

"Ada satu kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) lebih besar daripada negeri Pahang. Hampir kesemua kawasan DUN (daripada keseluruhan 71 kawasan DUN) lebih besar daripada Melaka. Masalah perhubungan memang susah.

"Kalau salah pergi tempat mengundi, nak pergi pulak ke kawasan mengundi yang sebenarnya mungkin ambil masa berjam-jam," katanya.

Mengenai pasukan penguatkuasaan pilihan raya SPR, Abdul Aziz berkata kelebihan nilai-nilai tinggi rakyat Sarawak menyebabkan tidak ada kes-kes besar yang melibatkan pergaduhan dan kecederaan.

"Kempen sejak 6 April lalu berjalan baik. Saya harap kekal sehingga hari pengundian esok. Saya juga tidak dapat laporan-laporan yang serius daripada polis. Yang ada hanyalah kempen tanpa permit dan poster kena koyak dan kena simbah cat merah," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta petugas parti-parti bertanding yang datang dari luar negeri ini supaya menghormati budaya dan cara hidup penduduk di Sarawak kerana kedatangan mereka hanyalah untuk menolong calon parti mereka.

Mengenai peratusan pengundi di Sarawak yang keluar mengundi semakin berkurangan setiap kali pilihan raya diadakan, Abdul Aziz berkata mungkin ini kerana ada pengundi yang bekerja di luar seperti di Semenanjung.

"Mereka ini tidak balik ketika hari mengundi. Mungkin ada juga yang telah meninggal dunia tetapi tidak dilaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara," katanya.

Berdasarkan rekod, pada pilihan raya negeri 1969 seramai 80 peratus keluar mengundi dan jumlah itu menunjukkan penurunan pada 1974 iaitu sebanyak 75.10 peratus, 1979 (72.8 peratus), 1983 (72.6 peratus), 1987 (73 peratus), 1991 (72.8 peratus), 1996 (64.2 peratus), 2001 (67 peratus) dan 2006 (63.2 peratus).

Tiada ulasan: