Jumaat, 29 April 2011

Permit Suara Keadilan : Syed Husin Sangkal Dakwaan KDN

TVS NEWS



PETALING JAYA : Ahli Biro Politik PKR, Senator Dr Syed Husin Ali menegaskan dakwaan Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Wira Abu Seman Yusop bahawa kegagalan parti itu dalam memberi penjelasan dan kerjasama kepada pihaknya merupakan punca utama permit akhbar Suara Keadilan tidak dapat diperbaharui adalah tidak benar sama sekali.

Syed Husin dalam kenyataan medianya berkata, ini kerana pihaknya sudah beberapa kali melakukan inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan KDN bagi mengadakan perbincangan berhubung isu tersebut.

“Dalam tempoh akhir tahun lepas dan awal tahun ini saja, pihak kami telah mengusahakan sekurang-kurangnya lima kali janji temu dengan pihak Kementerian Dalam Negeri dan Menteri Dalam Negeri bagi membincangkan status permit akhbar Suara Keadilan, namun tiada respon,” katanya.

Menurut Syed Husin, semua surat tunjuk sebab berhubung penyiaran artikel bertajuk ‘Felda Bankrap’ yang menyebabkan permit akhbar itu dibatalkan telah dijawab oleh pihaknya.

“Untuk penjelasan isu ‘Felda Bankrap’ ianya telah dibawa ke mahkamah, oleh itu sebarang tindakan adalah urusan mahkamah dan tidak boleh dijadikan alasan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri untuk tidak mahu menyambung permit Suara Keadilan,” tegasnya.

Justeru katanya, tidak ada sebab mengapa KDN tidak memperbaharui permit akhbar tersebut.

Malah, Syed Husin berkata setiap penerbitkan lidah rasmi adalah hak Parti Keadilan dan ia tidak boleh dinafikan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Sehubungan itu, Syed Husin menegaskan pihaknya akan mengambil peluang dari kenyataan terbuka Abu Seman untuk mengadakan satu lagi pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri dalam waktu terdekat untuk membincangkan isu permit Suara Keadilan.

Semalam, KDN menafikan dakwaan PKR bahawa kementerian itu melengahkan pembaharuan permit penerbitan akhbar parti berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata tempoh permit akhbar tersebut telah luput dengan sendirinya selepas KDN tidak menerima penjelasan lanjut mengenai satu berita yang disiarkan akhbar itu.

Tiada ulasan: