Khamis, 14 April 2011

Pembela anjur protes bantah Alkitab di KL esok


KUALA LUMPUR — Dilihat sebagai langkah melahirkan protes umat Islam berhubung isu Alkitab, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mengadakan perhimpunan aman membantah keputusan Putrajaya melepaskan 35,100 naskhah kitab Injil versi Bahasa Malaysia, esok.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider jurucakap Pembela, Dr Yusri Mohamad berkata, perhimpunan aman yang disertai 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan diadakan di pekarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat esok.

“Kita anjurkan perhimpunan itu untuk menzahirkan pandangan dan suara pertubuhan-pertubuhan Islam yang turut mewakili masyarakat Islam bagi mempertahankan kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

“Perhimpunan ini adalah untuk membantah tindakan kerajaan membenarkan naskhah kitab Injil dalam Bahasa Malaysia termasuk penggunaan kalimah Allah,” katanya.

Kata beliau, pihaknya tetap bertegas membantah tidak membenarkan 35,100 kitab Injil atau Alkitab yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang dan Kuching dilepaskan.

“Kita lihat ada usaha-usaha dan kecendungan untuk mempertikaikan kedudukan Islam, jadi apa yang kami lakukan ini adalah untuk menzahirkan bantahan kami sahaja.

“Kami mahu mempertahankan kedudukan Islam dalam negara agar ia tidak dipertikaikan,” katanya.

Malah Pembela sebelum ini menyifatkan langkah Putrajaya menawarkan 10 formula menyelesaikan isu kitab Injil sebagai keputusan “mengalah” kepada desakan-desakan dibuat kumpulan masyarakat Kristian dan mahu ia dikaji semula.

Pembela juga menegaskan, langkah terbaru Putrajaya itu akan menyebabkan desakan sama berulang kembali yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuannya di Kuching semalam memberi jaminan peribadi bahawa pentadbirannya tidak akan menahan kitab Injil selepas ini.

Selain itu, Najib juga berkata, isu 35,100 naskhah kitab Injil yang ditahan telah diselesaikan secara baik dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Tiada ulasan: