Khamis, 14 April 2011

PEJABAT PELESENAN ATAU PELESERAN?


Oleh: KINANG HAJI GAMBAHALI

PEJABAT Daerah Semporna yang sebelum ini penuh dengan skandal dan menjadi salah satu Pejabat Daerah yang ‘terburuk’ di Sabah kini digelar sebagai ‘Pejabat Peleseran’ kerana bukan sahaja kakitangan bahagian pelesenan selalu ponteng kerja, malah Pegawai Daerahnya pun turut membudayakan ‘Kerja Luar’ sehingga jarang kelihatan di Pejabat.

“Saya tidak tahu berapa lama lagi mahu tunggu? Kerja memperbaharui lesen tidak sampai lima minit tetapi kini sudah lebih satu minggu saya hantar tapi belum siap,” ujar Amdan Ahmad yang telah menghantar permohonan untuk memperbaharui lesen perniagaannya.

Memandangkan kebanyakan urusan perniagaan menggunakan lesen perniagaan, maka beliau tidak dapat menguruskan perniagaannya kerana lesen perniagaannya belum diproses oleh bahagian pelesenan.

“Tiap kali saya datang tidak ada pegawai yang bertugas. Saya datang jam 8 pagi dan tunggu sehingga 11.40 tetapi pegawai pelesenan tidak datang. Saya datang balik jam 2 petang dan tunggu sehingga jam 5 petang, tetapi batang hidung pegawai itu pun tidak Nampak. Bukan satu hari, tapi sudah lima hari tunggu,” ujar Amdan yang meminta agar Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah membuat pemeriksaan mengejut terutama pada hari Isnin dan Jumaat kerana ketika itu pasti Pegawai Daerah dan kakitangan Pejabat Daerah berpeleseran atau menjadi halimunan.

Jika keadaan berterusan kata Amdan, ada baiknya Pejabat Daerah Semporna dipindahkan ke Kota Kinabalu atau diswastakan sahaja bagi melancarkan urusan, terutama para peniaga yang teraniaya oleh sikap cuai dan lalai kakitangan Pejabat Daerah.

Tiada ulasan: