Sabtu, 30 April 2011

Nadir bumi: Perak batal MoU firma Hong Kong

TERKINI



KUALA LUMPUR— Kerajaan negeri Perak telah memutuskan untuk membatalkan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani dengan syarikat Hong Kong, CVM Minerals Limited bagi menerokai dan melombong nadir bumi di Bukit Merah dengan serta-merta.

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), sayap pelaburan negeri, mengumumkan keputusan ini dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini.

“Mengenai MoU antara PKNP dan CVM Minerals Ltd bagi projek nadir bumi yang disyorkan, dimaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah membatalkan dan mengakhiri MoU dengan serta-merta memandangkan kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengeluarkan apa-apa permit, lesen atau kelulusan tanah bagi sebarang projek nadir bumi di Perak,” kata ketua pegawai eksekutif PKNP Datuk Samsudin Hashim dalam satu kenyataan.

Laporan terdahulu menyebut Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (gambar) kesal dengan PKNP kerana menandatangani MoU dengan sebuah firma dari Hong Kong tanpa memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.

Sehubungan itu beliau memberi amaran kepada semua agensi kerajaan negeri agar memaklumkan butiran perjanjian yang ditandatangani.

“Saya nak bagi amaran juga kepada (semua) agensi supaya sebarang bentuk MoU yang hendak dibuat hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.

“Walaupun mereka anggap ini bukan merupakan satu yang terikat dengan undang-undang, maksudnya bukanlah satu benda yang akan dilaksanakan,” kata beliau.

Tambah beliau, walaupun hanya sekadar bentuk persefahaman, namun perkara-perkara yang sensitif dan sebagainya hendaklah terlebih dahulu dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Kelmarin, The Malaysian Insider melaporkan sebuah firma Hong Kong dan kerajaan Perak telah bersetuju untuk menerokai dan melombong nadir bumi di Bukit Merah - kawasan yang terkenal dengan kontroversi nadir bumi dan radioaktif.

Laporan itu menimbulkan bantahan beberapa pihak yang bimbang mengenai kesan radiasi daripada projek itu.

Zambry berkata menjadi tanggungjawab PKNP untuk memaklumkan kepada kerajaan negeri kerana sebarang perkara yang membabitkan soal dasar kerajaan negeri harus dimaklumkan terlebih dahulu.

Tiada ulasan: