Sabtu, 16 April 2011

Muara Tuang: Lancar waktu pagi, redup waktu petang

Hazayani Zakaria

MUARA TUANG: Cuaca yang pada awalnya cerah kini bertukar redup di Muara Tuang dibimbangi menjejaskan peratusan keluar mengundi pada sebelah petang.

Tinjauan Harakahdaily pada sebelah pagi sehingga tengah hari ini, proses pengundian berjalan lancar di beberapa pusat pengundian.

Namun kemeriahan hari mengundi tidak begitu terasa di sini berbanding dengan kawasan utama di negeri ini.

Tidak berlaku kesesakan lalu lintas sehingga terpaksa dikawal oleh polis trafik.

Pergerakan kenderaan seperti biasa walaupun melalui kawasan tempat membuang undi.

Di kawasan membuang undi pula tidak ada bangsal panas seperti yang biasa dilihat pada pilihan raya kecil sebelum ini.

Perayu undi pula hanya berada di beberapa tempat sahaja dan tidak ramai.

Di Dewan Persatuan Masyarakat Jalan Muara Tuang Samarahan, kelihatan kira-kira 15 petugas PAS dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertugas di sepanjang laluan masuk ke dewan.

Menurut penyelia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi tersebut Mohammad Brahim, terdapat dua saluran di pusat itu iaitu saluran satu dan dua.

Saluran satu seramai 350 pengundi manakala saluran dua seramai 540 pengundi.

Namun katanya jumlah yang keluar mengundi belum sampai separuh daripada jumlah itu.

"Saluran satu baru 109 orang sudah mengundi dan saluran dua seramai 147.

"Kita bimbang keadaan cuaca yang berubah menjejaskan peratusan keluar mengundi," katanya.

Terdapat sembilan pusat pengundian di Dun ini.

Seorang petugas PAS, Sharifah berkata, sepanjang mereka bertugas di kawasan tersebut tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini sebaliknya pengundi memberikan respons positif setiap kali mereka menunjukkan lambang PAS.

"Kami akan bertugas di sini sehingga pusat pengundian tutup dan dari pagi tadi,semua berjalan lancar dan tidak ada masalah bila kami menujukkan lambang PAS," katanya.

Tiada ulasan: