Khamis, 14 April 2011

MRT: Kontrak pertama dianugerah hari ini, cetus kontroversi


KUALA LUMPUR — Pemilik Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang akan menganugerahkan kontrak utama pertamanya hari ini kepada Jurutera Pemeriksa Bebas (ICE) yang dipilih kerajaan dan akan dibayar dua peratus daripada nilai projek, yang kos projek masih belum muktamad - di mana fi itu didakwa lebih tinggi berbanding kadar pasaran.

The Malaysian Insider difahamkan konsortium HSS Integrated Sdn Bhd, MTR Corp Ltd dari Hong Kong dan syarikat Kanada SNC-Lavalin, dijangka akan memperoleh kontrak itu meskipun telah ditolak oleh Syarikat Prasarana Berhad (SPNB), pemilik projek sebelum ini.

Kos keseluruhan projek MRT itu dianggarkan RM36.6 bilion ketika diumumkan dua tahun lalu tetapi ia tidak termasuk kos tanah.

Kos terbaru yang diumumkan dipercayai mencecah lebih RM50 bilion.

“Lembaga SPNB akan bertemu hari untuk meluluskan keputusan yang dibuat oleh exco di peringkat Kementerian Kewangan. Mereka (SPNB) perlu ikut keputusan itu memandangkan wang itu dibayar oleh kerajaan,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan kadar itu boleh mencecah RM720 juta berdasarkan pada fi yang diperlukan bagi projek tersebut.

Bagaimanapun sumber berkata bayaran dua peratus ke atas kos kelihatan bertentangan dengan konvensyen industri yang lazimnya di bawah paras satu peratus bagi subkontraktor.

Juga difahamkan konsortium juga mengetepikan HSS Integrated memandangkan ia mempunyai hubungan kerja semasa dengan penyedia projek MMC-Gamuda menerusi projek landasan kereta api berkembar di utara Malaysia.

“Apabila permintaan untuk maklumat dihantar sebelum sambutan Krismas lalu, ia dengan jelas menyatakan bahawa (pihak yang) memperoleh anugerah ICE tidak harus mempunyai hubungan semasa dengan penyedia projek.

“HSS ada tetapi secara konvensyen telah dipandang mudah,” kata satu lagi sumber.

Minggu lalu, Ketua eksekutif SPNB Shahril Mokhtar berkata, jawatankuasa teknikal sepusat akan menilai bidaan-bidaan sebelum mengesyorkan kepada jawatankuasa Kementerian Kewangan yang akan memutuskan penganugerahan kontrak.

“Itu wang mereka, maka mereka akan memutuskan,” kata Shahril.

Minggu lalu, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa Putrajaya masih belum memuktamadkan aspek pembiayaan dan fi pengurus projek MRT ini meskipun perancangan telah dimulakan bagi kerja-kerja kejuruteraan sivil yang akan dilakukan November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Nur Kamal berkata, hanya Surat Anugerah (LoA) telah dikeluarkan kepada MMC-Gamuda selaku Rakan Pelaksana Projek (PDP) tetapi belum memuktamadkan soal fi.

“Kami bekerja kuat untuk memuktamadkannya dan ia akan diumumkan sebelum kerja-kerja pecah tanah Julai ini,” kata beliau pada sesi taklimat kepada pemberita semalam.

Tiada ulasan: