Selasa, 5 April 2011

Mohd Shukri: Kepercayaan rakyat keutamaan SPRM

BERNAMA

Kepercayaan rakyat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diberi keutamaan berbanding kepentingan pegawai SPRM sendiri, demikian Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata sekiranya ada pegawai SPRM yang terlibat dan didapati bersalah berhubung kematian Teoh, SPRM tidak akan melindunginya.

"Segala keputusan yang dibuat oleh suruhanjaya akan diterima dengan hati yang terbuka kerana apa yang penting kami ingin menjaga imej SPRM," katanya ketika ditanya anggota suruhanjaya Siasatan itu, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, yang juga dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.

Mohd Shukri, saksi ke-25 dalam siasatan oleh suruhanjaya itu, prosiding hari ini bahawa beliau berharap supaya suruhanjaya dapat membuat keputusan yang tepat dan seadilnya bukan hanya untuk memuaskan hati satu pihak sahaja tetapi turut melibatkan ahli keluarga mendiang, masyarakat dan SPRM sendiri.

Kepada soalan Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah, peguam yang mewakili SPRM, sama ada SPRM menyediakan latihan kepada pegawainya mengenai cara memberi keterangan di mahkamah,Mohd Shukri berkata:

"Pihak SPRM ada memberi latihan secara asas sahaja terutamanya untuk mengawal emosi ketika menjawab soalan dari peguam-peguam yang hebat dan handal, tetapi latihan itu tidak diberi secara mendalam."

Jawapan daripada Mohd Shukri itu mendapat reaksi daripada pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang menyarankan supaya pihak SPRM menerapkan kaedah soal siasat yang dijalankan oleh polis Scotland Yard.

Selain itu, ketika disoal pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud sama ada terdapat perintah tetap yang dikeluarkan berhubung kehadiran peguam semasa pemeriksaan saksi dijalankan, Mohd Shukri berkata perintah tetap yang dikeluarkan pada 1997 tidak membenarkan peguam bersama dengan saksi semasa temubual atau soalsiasat.

Bagaimanapun, Mohd Shukri berkata, pada tahun 2010 terdapat perintah tetap yang membenarkan peguam berada bersama dengan saksi mereka ketika temubual atau soalsiasat tetapi perlu mendapatkan kebenaran pegawai kanan SPRM.

"Sekiranya saksi yang ditemubual didapati menjadi seorang suspek, berkemungkinan besar peguam tersebut tidak boleh mewakili saksinya," katanya.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong dan Mohamed Hatta, suruhanjaya siasatan itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T S Nathan dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Suruhanjaya itu ditubuhkan untuk menyiasat antara lainnya punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner, yang menjalankan siasatan sebelum ini, membuat satu keputusan "terbuka".


Tiada ulasan: