Jumaat, 29 April 2011

Misbun tolak kontrak baru BAM

THE MALAYSIAN INSIDER


Gambar fil Misbun dengan Lee. — Gambar Reuters

KUALA LUMPUR — Jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, yang menerima balik hasrat untuk melepaskan jawatan jurulatih awal bulan ini, telah menolak kontrak baru yang ditawarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Laporan media memetik Timbalan Presiden BAM, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah berkata, keputusan Misbun itu diterima secara sebulat suara oleh ahli-ahli Majlis BAM hari ini.

“Berikutan penolakan itu, Misbun kini tidak lagi berada dalam barisan kejurulatihan BAM,” kata beliau kepada pemberita hari ini.

Misbun mengejutkan banyak pihak apabila menghantar surat berhenti menjadi jurulatih BAM pada 31 Disember lalu.

Beliau yang menyertai BAM pada 2002 sebagai ketua jurulatih, menggemparkan arena badminton negara selepas menghantar surat meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan, sehari sebelum kontraknya tamat pada 31 Disember lalu.

Beberapa pertemuan antara beliau dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong dan Presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh, gagal memujuk jurulatih itu untuk terus bersama BAM.

Pada 2 April lalu, Nadzmi berkata isu peletakan jawatan jurulatih badminton Misbun berakhir apabila beliau menarik balik keputusannya dan bersetuju untuk berkhidmat semula dengan BAM.

Nadzmi berkata perkara itu dimaklumkan Misbun menerusi surat yang dihantar ke rumahnya tiga atau empat hari akhir bulan lalu.

Beliau berkata BAM akan menawarkan kontrak baru kepada Misbun dengan terma-terma tertentu.

Misbun melatih jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Sebelum ini, Ahmad Shabery berkata, keputusan Misbun kembali ke pangkuan BAM akan menguatkan pasukan negara terutama dalam misi memburu pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik 2012.

Tiada ulasan: