Sabtu, 2 April 2011

Misbun kembali ke pangkuan BAM, menteri bersyukur

THE MALAYSIAN INSIDER


Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohd Nadzmi Salleh (kanan) ketika sidang akhbar selepas mepengerusikan Mesyuarat Majlis BAM, di Subang Jaya — Bernama

KUALA LUMPUR— Isu peletakan jawatan jurulatih badminton Datuk Misbun Sidek berakhir apabila beliau menarik balik keputusannya dan bersetuju untuk berkhidmat semula dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Misbun mengejutkan banyak pihak apabila menghantar surat berhenti menjadi jurulatih BAM pada 31 Disember lalu.

Presiden BAM Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh berkata perkara itu dimaklumkan Misbun menerusi surat yang dihantar ke rumahnya tiga atau empat hari lalu.

Beliau berkata BAM akan menawarkan kontrak baru kepada Misbun dengan terma-terma tertentu. Dipetik Bernama Online, kata beliau, pada dasarnya semua perkara itu sudah pun dibincang dengan Misbun.

“Dalam kontrak itu nanti BAM akan putuskan sama ada Misbun akan melatih Chong Wei semula dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di Petaling Jaya semalam. Misbun melatih jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Tindakan Misbun yang dikhuatiri menjejaskan peluang negara untuk meraih emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik London tahun depan, sekali gus menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery kemudiannya menjadi sebagai orang tengah antara Misbun dan Nadzmi yang mewakili BAM, apabila beliau berjumpa kedua-dua pihak secara berasingan pada 6 Januari lepas; Nadzmi semasa waktu makan tengahari dan Misbun pada makan malam.

Pada 12 Januari lalu, BAM dalam satu mesyuarat mengambil keputusan untuk meminta Misbun menimbangkan semula keputusan beliau dan bersedia untuk menawarkan kontrak baru kepada jurulatih itu.

Isu peletakan jawatan Misbun berlarutan selama tiga bulan tanpa sebarang penjelasan daripada beliau, meskipun pelbagai spekulasi dibuat pihak media berhubung punca tindakannya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, keputusan Misbun kembali ke pangkuan BAM akan menguatkan pasukan negara terutama dalam misi memburu pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik 2012.

Beliau bersyukur Misbun kembali ke arena badminton negara hari ini untuk mengakhiri kemelut yang sudah berlarutan ini.

Tiada ulasan: