Sabtu, 9 April 2011

MIC bincang jadikan Deepavali cuti umum di S'wak

BERNAMA

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam berkata beliau akan berbincang dengan kerajaan Sarawak mengenai kemungkinan menjadikan perayaan Deepavali sebagai cuti umum di negeri ini.

"Saya akan mengemukakannya kepada kerajaan negeri dan cara untuk menyelesaikannya. Ia cuti umum persekutuan tetapi kerajaan negeri di sini mesti menerimanya. Kami perlu mengkaji dahulu.

NONE"Alasan sebelum ini ialah ada terlalu banyak cuti umum (di negeri ini). Itulah isunya... kami akan mengkaji cara menyelesaikannya dalam konteks kami," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Dewan Perdagangan dan Perindustrian India Sarawak di Kuil Sri Maha Kaliamman, di Kuching malam semalam.

Pada masa ini, Deepavali bukanlah cuti umum persekutuan di Sarawak.

Subramaniam, yang merupakan wakil masyarakat India dalam Kabinet, berkata kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara ini secara keseluruhannya.

"Ia termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan dalam kerajaan, latihan dan biasiswa. Dalam pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, masyarakat India telah mendapat perubahan yang besar.

"Tiap-tiap rakyat mendapat tempat dan peluang tertentu. Peluang-peluang itu ditambah dari semasa ke semasa. Hari ini saya beri bantuan kepada tiga kuil di Kuching. Kita akan bincang dengan kerajaan pusat dan negeri untuk beri bantuan tambahan," katanya.

Subramaniam berkata berdasarkan pemerhatiannya, sebahagian besar kaum India di Sarawak adalah penyokong kuat Barisan Nasional (BN) dan beliau percaya mereka akan terus memberi sokongan dalam pilihan raya Sarawak ini.

Beliau berkata terdapat seramai 1,805 pengundi daripada kaum India di seluruh Sarawak dengan di Kuching terdapat 1,008 orang.

"Kebanyakan (pengundi kaum India) di Kuching iaitu di tiga (kawasan) Dewan Undangan Negeri dengan yang paling ramai di Batu Lintang, kira-kira 500 orang," katanya.


Tiada ulasan: