Khamis, 28 April 2011

MCLM terus gesa TV3 siar sepenuhnya kenyataan RPK

Salhan K Ahmad

Peguam Haris Ibrahim mengulangi gesaannya hari ini supaya stesen TV3 menyiarkan sepenuhnya penjelasan oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin berhubung dakwaan melibatkan isteri perdana menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

NONE"Kalau betul TV3 hendak bersihkan namanya, dia perlu menyiarkan versi penuh tanpa suntingan.

"Selagi TV3 tak siarkan, orang akan terus bertanya sama ada betul atau tidak apa yang Raja Petra katakan itu," kata presiden Gerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM) itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, beliau telah membuat gesaan sama sebaik TV3 menyiarkan temubual itu secara berturut-turut semasa kempen pilihan raya negeri Sarawak berlangsung pada pertengahan bulan ini.

Gesaannya hari ini pula timbul ekoran tindakan Raja Petra yang menyangkal laporan stesen televisyen itu bahawa beliau "tidak percaya lagi" dakwaan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian semasa pembunuhan ngeri tersebut berlaku pada 2006.

NONEPengerusi MCLM itu juga berkata, laporan itu telah diputarbelit dan disalah lapor kerana interbiunya telah disunting oleh penyiar, menyebabkan maksud sebenarnya telah berubah.

Raja Petra mendakwa apa yang dikatakannya dalam perenggan tersebut ialah: Apabila saya diberitahu saya tak percaya lagi, saya rasa mustahil kot, Rosmah masuk hutan panjat bukit tengah malam, jadi saya tak percaya lagi, sehingga saya mendapat pengesahan.

RPK mengakui bahawa beliau berkata "Saya rasa mustahil kot" dalam temubual dengan pengarang kumpulan TV3, Datuk Ashraf Abdullah di Australia itu.

Namun, beliau mendakwa sebahagian ayat itu telah dipotong dalam segmen yang disiarkan pada 13 April.

Ekoran penyiaran temuramah itu, Raja Petra didakwa telah mengubah pendiriannya dengan 'menarik balik' dakwaan tertentu dalam akuan bersumpah yang difailkannya pada Jun 2008.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ashraf Abdullah enggan mengulas berhubung permintaan Raja Petra supaya TV3 menyiarkan sepenuhnya penjelasan itu.

Tiada ulasan: