Selasa, 5 April 2011

Kos tunai haji kekal RM9,980

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Kos menunaikan ibadat haji tahun ini kekal RM9,980 seperti tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengekalan kos itu secara tidak langsung membabitkan tambahan subsidi oleh kerajaan untuk setiap jemaah sebanyak RM4,360 berbanding RM3,060 tahun lalu.

Jamil (gambar) berkata keputusan tersebut mengambil kira pertimbangan daripada pelbagai sudut dan pandangan termasuk keperluan pendeposit di Lembaga Tabung Haji.

“Di sebalik peningkatan kos pengangkutan, makan minum dan penginapan di tanah suci, kerajaan tetap menimbangkan terutamanya keperluan pendeposit haji yang berusia dan berharap menunaikan haji,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Malah kata beliau, keputusan itu juga mengambil kira prestasi pencapaian Tabung Haji yang mampu mengendalikan dengan sebaik mungkin urusan ini dan keuntungan diperoleh tahun lalu.

“Jadi kita mengekalkan tambang haji tahun terdahulu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Jamil Khir, tambang tersebut hanya untuk jemaah yang pertama kali menunaikan haji.

Bagi mereka yang pernah menunaikan haji perlu membayar tambang penuh iaitu RM14,340 kerana dikecualikan mendapat subsidi.

“Ini sebagai memberi peluang mereka yang pertama kali ingin menunaikan haji,” katanya.

Menurut beliau, kos sebenar tersebut juga masih rendah berbanding negara jiran seperti Singapura sebanyak RM16,000, Brunei (RM17,000), Thailand (RM14,000) dan Indonesia RM10,000 hingga RM14,000.

Lebih 500,000 pendeposit Tabung Haji memohon untuk mengerjakan haji tahun ini.

Tiada ulasan: