Sabtu, 23 April 2011

KJ: Prestasi Sarawak bukan ukuran undi Cina buat BN hakis

THE MALAYSIAN INSIDER



KOTA BARU — Kemenangan lebih besar DAP pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 baru-baru ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin (gambar) berkata semua pihak dalam BN perlu duduk semeja bagi mencari pendekatan bagaimana untuk menarik semula sokongan masyarakat Cina terhadap BN.

“Sebelum ini beberapa pilihan raya kecil yang lain, sokongan masyarakat Cina terhadap BN semakin meningkat tetapi berlainan di Sarawak dan sebab itu kita tidak boleh membuat ukuran bahawa sokongan masyarakat itu kepada kita sudah terhakis.

“Kita mesti melihat apa sebabnya perkara itu berlaku dan semua pihak dalam BN perlu mencari pendekatan bagaimana mahu menarik semula sokongan mereka kepada kita selepas ini,” katanya selepas bersama-sama membaik pulih rumah di Kampung Beta melalui Program Jelajah One Malaysia Pemuda BN di sini, hari ini.

Pada pilihan raya negeri Sabtu lalu, BN mengekalkan kerajaan negeri dengan memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dengan Pakatan Rakyat mendapat 15 kerusi dan satu oleh Bebas.

“Saya juga menolak andaian masyarakat Cina itu menolak kerana bencikan BN dan itulah sebabnya kita kena cari punca kenapa ini berlaku,” kata beliau dipetik Bernama Online.

Sehubungan itu, Pemuda BN melalui semua komponennya akan mula menggerakkan jenteranya terutama di kawasan bandar bagi menarik semula sokongan itu dan berharap semua pihak akan memberikan kerjasama mereka, kata Khairy

Tiada ulasan: