Jumaat, 1 April 2011

Keselamatan: MB ‘smash’ bola tanggung Adun BN

Ismail Hashim

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak melepaskan peluang keemasan 'menghentak bola tanggung' yang dibuat seorang wakil pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Selangor kali ini.

Sebaik Abdul Khalid menjawab mengenai isu polis tambahan yang akan melibatkan semua pihak termasuk pihak Umno kerana bab keselamatan ini melibatkan semua rakyat, wakil pembangkang itu bangun bertanyakan soalan tambahan.

Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang), bertanya kenapa kerajaan negeri tidak memberikan peruntukan kepada Dun Permatang yang di bawah BN, beliau sendiri sebagai Adun tidak pernah dipanggil berbincang sebaliknya Pusat Khidmat PKR menguruskan kewangan dan peruntukan Dun Permatang.

"Kenapa tidak menghormati saya sebagai wakil rakyat yang dipilih di sana?" soal Sulaiman.

Ketika inilah, Menteri Besar menjawab pertanyaan bola tanggung wakil pembangkang itu dengan melakukan smash tajam.

"Itu sebab, kita telah minta Kerajaan Persekutuan untuk memperuntukkan setiap parlimen kita kongsi bersama, kenapa tidak dilakukan,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan tidak menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada setiap parlimen terus kepada wakil rakyat Pakatan Rakyat di seluruh negara termasuk Selangor.

Mengikut amalan demokrasi, sewajarnya wang itu disalur melalui ahli parlimen dengan dipantau pejabat daerah, bukan melalui Ketua Umno bahagian.

Malah Kerajaan Persekutuan juga menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sedangkan Kerajaan Negeri Selangor sudah mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamataan Kampung (JKKK)

"Keadaan ini akan menimbulkan masalah kepada proses pentadbiran, kalau satu organisasi dijaga oleh dua kepala.

"Saya bangkitkan isu keselamatan untuk semua dan kita jemput semua orang serta tidak persoalkan dari segi peruntukan atau dipantau oleh Persekutuan," tambah Khalid lagi.

Isu ini berbangkit apabila Menteri Besar menjawab soalan yang dikemukakan oleh Adun Seri Setia, Nik Nazmi Ahmad mengenai Polis Tambahan.

Kerajaan Negeri telah membuat permohonan untuk untuk mewujudkan polis tambahan sendiri dengan dimulakan dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mempunyai kekuatan kewangan sendiri.

Namun permohonan ini ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mengulas lebih lanjut, Abdul Khalid berkata, banyak kawasan perumahan mempunyai pasukan polis tambahan sendiri dan inilah hasrat kerajaan negeri membantu pihak polis meningkatkan tahap keamanan dalam masyarakat.

Abdul Khalid seterusnya menyebut tentang keperluan anggota polis seramai 50,000 lagi, kerana itu, kenapa ditolak permohonan Selangor yang ingin biayai sendiri pasukan itu.

Ketika menjawab soalan tambahan Nik Nazmi mengenai keengganan KDN meluluskan permohonan itu, Abdul Khalid berkata, beliau berharap pihak polis tidak terlibat di dalam mempolitikkan isu keselamatan.

Hari ini adalah hari ketiga berlangsungnya sidang Dewan Negeri Selangor dan akan berakhir pada 5 April hadapan.

Pagi tadi, selepas sembilan puluh minit dikhaskan untuk menjawab soalan yang kini sudah sampai soalan ke-39, tiba masa untuk Exco-exco kerajaan menjawab semua persoalan yang dikemukakan oleh Adun-adun yang timbulkan dalam ucapan membahaskan titah perasmian Sultan pada 28 Mac lalu.

Tiada ulasan: