Khamis, 28 April 2011

Kes Sarbani : SPRM Serah Laporan Penuh Ke Parlimen

TVS NEWS



SHAH ALAM : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaklumkan mengenai perkembangan kes-kes di bawah siasatannya termasuk Operasi 3B yang dilakukan terhadap Kastam Diraja Malaysia (KDRM) kepada Parlimen hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata beliau akan berbuat demikian selepas menyerahkan laporan tahunan siasatan SPRM sepanjang 2010 kepada Jawatankuasa Khas Parlimen.

"Esok (hari ini) saya akan hantar laporan di Parlimen dan saya akan jawab soalan media (mengenai perkembangan siasatan kes) di sana," katanya kepada pemberita selepas menghadiri wacana "Rasuah Pemusnah Tamadun" di Auditorium Karangkraf, semalam.

Abu Kassim berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat perkembangan dan tangkapan baru dalam operasi yang dikendalikan suruhanjaya itu dan beberapa agensi kerajaan lain.

Dalam operasi 3B baru-baru ini, seramai 62 pegawai KDRM ditahan SPRM dan pada 6 April lalu Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu, ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

Operasi 3B dijalankan bagi menyiasat kegiatan rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan pegawai KDRM.

Tiada ulasan: