Jumaat, 8 April 2011

Kes Sarbani : NGO Gesa Kerajaan Tubuh Suruhanjaya DiRaja

TVS NEWS



KUALA LUMPUR : Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat kematian Ahmad Sarbani Mohamed yang dilaporkan terjatuh daripada bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

NGO terbabit yang diketuai oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) juga turut mencadangkan calon-calon ahli suruhanjaya berkenaan mestilah dipilih oleh wakil masyarakat bagi memastikan siasatan yang dijalankan berjalan dengan telus.

“Penubuhan RCI mesti ditubuhkan demi menyiasat kematian mangsa supaya tidak berlaku kejadian seperti ini yang pernah menimpa Teoh Beng Hock dan terbaru Ahmad Sarbani. Panel penyiasatan RCI mesti dipilih oleh masyarakat awam,"kata Pengerusi SUARAM, Kua Kia Soong.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.

Selain itu, pertubuhan NGO terbabit turut menuntut polis melakukan penyiasatan secara bebas dan profesional terhadap SPRM supaya suruhanjaya tersebut dapat membersihkan reputasi dan kredibiliti mereka terhadap beberapa insiden sebelum ini.

Penyelaras SUARAM, Nalini E pula mendesak kesemua pegawai yang terlibat dalam siasatan ke atas Allahyarham Sarbani termasuk Pengarah SPRM, digantung tugas sementara siasatan mengenai kematian mengejut Allayarham dijalankan.

“Pengarah SPRM dan semua pegawai yang terlibat dalam penyiasatan kes itu perlu digantung tugas sementara RCI menjalankan siasatan supaya tidak menutup apa-
apa bukti atau halangan ketika dalam penyiasatan.

“Polis mesti siasat secara bebas dan profesional kerana sebelum ini penyiasatan terhadap 59 kes melibatkan penyalahgunaan kuasa oleh SPRM tidak dapat diselesaikan,"katanya.

Antara NGO yang turut hadir pada sidang media hari ini ialah wakil dari Saya Anak Bangsa Malaysia(SABM), All Women’s Action Society (AWAM), Malaysia For Beng Hock, Lawyers For Liberty (LFL), Persatuan Masyarakat Wilayah Persekutuan dan Selangor (PERMAS) dan Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS).

Semalam seorang Pegawai Kastam yang disiasat berhubung tuduhan rasuah dijumpai mati di perkarangan bangunan pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Pegawai itu yang bekerja di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia baru sahaja dibebaskan dua hari lalu selepas diikat jamin, sebelum dipanggil semula ke pejabat agensi itu.

Allahyarham sebelum ini ditahan untuk membantu siasatan rasuah dan pembersihan wang haram di jabatannya.

Tiada ulasan: