Ahad, 10 April 2011

Kes Sarbani: Inkues hanya jika ada keraguan, kata Najib

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

SUNGAI BULOH — Inkues bagi menyiasat kes kematian Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbani Mohamed hanya akan diadakan jika laporan polis menunjukkan adanya unsur keraguan daripada kematiannya.

Setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada 16 orang.

Oleh itu kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerajaan perlu menunggu siasatan polis berhubung kes itu.

Beliau mengulas desakan beberapa pihak supaya sebuah inkues ditubuhkan bagi menyiasat kes Sarbani yang ditemui mati terjatuh di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, di Jalan Cochrane di sini Rabu lalu.

Bagaimanapun minggu lalu Najib berkata kerajaan tidak bercadang mengadakan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes itu walaupun insiden itu berlaku di premis SPRM, sebagai mana kes Teoh Beng Hock dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Bernama Online berkata kandungan maklumat dalam telefon bimbit milik Ahmad Sarbani kini dalam siasatan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata telefon bimbit milik allahyarham Ahmad Sarbani itu antara bukti yang disiasat Unit Forensik selain rakaman CCTV bangunan pejabat itu dan bukti di tempat kejadian.

“Unit Forensik sentiasa mencari bukti-bukti penting bagi melengkapkan laporan mereka sama ada dari telefon bimbit, CCTV atau kembali semula ke tempat kejadian.

“Setiap hari memang ada petunjuk baru tapi kita tidak boleh dedahkan kerana boleh menganggu siasatan,” katanya di sini.

Beliau berkata sejak kes itu dilaporkan, polis menjalankan sisatan terperinci dengan sentiasa memanggil individu baru atau memanggil semula mana-mana 16 individu yang telah diambil keterangan sebelum ini bagi membantu siasatan.

Ku berkata siasatan dapat diselesaikan apabila semua laporan forensik diperoleh dan keterangan saksi selesai diambil.

“Kita semua perlu tunggu. Jangan bagi kami ‘deadline’ bila kes boleh diselesaikan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan kes itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Ahmad Sarbani ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setelah dilaporkan datang untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Kastam Diraja Malaysia.

Tiada ulasan: