Khamis, 14 April 2011

Kes Aminul Rasyid : Tidak Berniat Membunuh, Tembakan Dihalakan Belakang Kereta- Tertuduh

BERNAMA

SHAH ALAM : Koperal Jenain Subi, yang dituduh dalam kes kematian remaja Aminulrasyid Amzah tahun lepas, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau hanya bertindak jujur dan munasabah ketika melepaskan tembakan pada hari kejadian, dan bukannya untuk membunuh sesiapa.

Beliau berkata tembakan itu hanya ke arah bahagian bawah belakang kereta sebagai usaha menahan pemandu yang memandu secara laju dan berbahaya.

Katanya beliau sama sekali tidak menghalakan senjata api jenis sub-mesingan SK MP5 ke arah pemandu kereta jenis Iswara ketika kejadian di Jalan Persiaran Kayangan dan Bulatan Kayangan di sini sebelum kereta yang dipandu mangsa terbabas dan melanggar tembok.

Dalam pemeriksaan utama oleh peguam M. Athimulan, Jenain berkata pada awal pagi hari kejadian beliau yang bertugas di bawah Balai Polis Seksyen 11 sedang membuat rondaan mencegah jenayah di Seksyen 9, Shah Alam telah mendapat maklumat melalui radio kereta perondanya untuk membantu sebuah kereta peronda lain untuk menahan kereta Iswara BET 5023 yang dipandu laju setelah tidak berhenti di satu sekatan pemeriksaan polis.

Beliau dan rakannya Konstabel Mohamad Hafiz Mohd Yusof yang bertindak di atas maklumat berkenaan dapat menjejaki kereta itu di hadapan Hotel Concorde berhampiran Persiaran Kayangan di sini sebelum mengejar kereta berkenaan.

Ketika ditanya Athimulan bagaimana kereta berkenaan dipandu, Jenain berkata ia dipandu laju, kereta terhoyong-hayang ke kanan dan kiri, dipandu secara berbahaya serta tidak berhenti di beberapa lampu isyarat.

Menurutnya ketika sampai di Bulatan Persiaran, beliau nampak seorang anggota peronda dari kereta peronda SL 589 telah mengeluarkan senjata sub mesingan dan melepaskan tembakan ke arah belakang kereta Iswara berkenaan.

"Kereta berkenaan masih tidak berhenti dan dipandu laju sebelum masuk ke Jalan Wau dan akhirnya terbabas di Jalan Tarian setelah melanggar tembok," jelas Jenain.

Jenain, 48, menghadapi tuduhan menyebabkan kematian terhadap Aminulrasyid, di antara 1.10 pagi hingga 2 pagi di Jalan tarian 11/2, pada 26 April, 2010 mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalah boleh dipenjara sehingga 30 tahun.

Ketika ditanya kenapa beliau tidak melepaskan tembakan ketika mengejar kereta Iswara itu di Jalan Persiaran, Jenain berkata beliau masih bertekad memintas kereta berkenaan dan ketika itu beliau beranggapan pemandunya cuba melarikan diri daripada polis selepas melakukan rompakan.

Ketika di Jalan Wau, keretanya berada betul-betul di hadapan kereta Iswara tetapi tidak membuat keputusan untuk melepaskan tembakan kerana jalan berkenaan berhampiran dengan restoran dan kawasan perumahan.

"Di Jalan Tarian, saya mengambil senjata sub-mesingan dan melepaskan beberapa das tembakan di bawah kereta dengan menghalakannya betul-betul ke arah kedua-dua tayar kereta berkenaan," kata Jenain.

Walaupun malam, katanya, beliau dapat menghalakan ke arah tayar dan rim kerana ada lampu jalan serta lampu belakang kereta bernyala dengan terang.

Ketika disoal sama ada beliau melepaskan tembakan ke arah pemandu kereta, Jenain menafikan berbuat demikian.

"Sebaik sahaja kereta terbabas, penumpang yang duduk di bahagian hadapan membuka pintu dan melarikan diri tetapi Mohamad Hafiz dan Kons Izham (Mohd Izham Mahayadin) dari satu lagi kereta peronda dapat mengejar dan menangkap suspek.

"Apabila saya menghampiri kereta Iswara dan membukanya, saya melihat ada orang terbaring kaku di tempat duduk pemandu, seterusnya saya menghubungi bilik gerakan untuk mendapatkan bantuan," kata Jenain.

Menjawab soalan Athimulan bahawa saksi pendakwaan Mohd Izham memberitahu bahawa tayar kempis serta tangki minyak kereta mangsa telah bocor ketika kereta berkenaan berada di Bulatan Persiaran, Jenain berkata anggota peronda berkenaan telah berbohong.

Beliau berkata sepanjang insiden itu, beliau berada dalam keadaan tenang dan sabar, serta mengambil kira semua keadaan sebelum membuat keputusan melepaskan tembakan.

"Saya tidak cuai menjalankan tugas dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab," tegas Jenain.

Perbicaraan di hadapan hakim Latifah Mohd Tahar disambung esok untuk membolehkan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani membuat pemeriksaan balas terhadap tertuduh

Tiada ulasan: