Rabu, 27 April 2011

Keputusan bebas dua pelajar tiada kaitan politik, kata UM


KUALA LUMPUR — Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaya (UM) Prof Dr Rohana Yusof berkata, keputusan pusat pengajian tinggi itu menggugurkan dakwaan terhadap dua penuntut yang didakwa memalsukan sijil sakit tidak ada kaitan dengan tekanan politik.

Sebaliknya, Rohana berkata, keputusan itu diputuskan dalam jawatankuasa rayuan UM dan memutuskan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap kedua-dua penuntut itu.

“Memang tidak ada tekanan politik, keputusan yang dibuat jawatankuasa rayuan adalah keputusan sendiri, tiada tekanan politik.

“Kalau ada tekanan politik nanti lain pula yang jadi,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Selain dibebaskan daripada digantung satu semester, kedua-dua penuntut itu Tan Tiong Yih dan Yeong Lee Kee turut dikecualikan daripada membayar denda RM200 atas dakwaan memalsukan cuti sakit ketika pemilihan kampus Februari lalu.

“Dakwaan mereka digugurkan sebab rayuan mereka diterima jawatankuasa rayuan.

“Saya tidak pasti apa alasan yang diberikan tapi saya hormati keputusan yang dibuat jawatankuasa rayuan semalam, dengan keputusan ini kedua-dua penuntut ini boleh mengambil peperiksaan akhir seperti biasa,” kata Rohana.

Bagaimanapun tegas Rohana, beliau berharap agar insiden itu menjadi pengajaran kepada penuntut-penuntut lain untuk tidak menipu ketika pemilihan kampus.

Beliau berkata, sekiranya mahu menjadi pemimpin yang baik penuntut harus bersikap adil dan jujur kepada diri sendiri.

“Kalau nak jadi pemimpin, kena jadi pemimpin yang berhemah, berintegriti dan jujur kepada diri sendiri.

“Jadi saya harap apa yang berlaku ini menjadi pengajaran kepada penuntut lain... penipuan adalah satu kesalahan dan kalau nak jadi pemimpin perlu bersikap jujur,” katanya.

Semalan jawatankuasa rayuan UM memutuskan kedua-dua penuntut itu dibebaskan daripada tuduhan setelah sebulan keputusan tersebut tergantung.

Ekoran itu, Tan dan Yeong, masing-masing penuntut Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sastera dibenarkan untuk mengambil peperiksaan akhir semester seperti biasa yang mula berlangsung sekarang.

Tiada ulasan: