Jumaat, 29 April 2011

KDN nafi lengah baharui permit Suara Keadilan

BERNAMA


Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan PKR bahawa kementerian itu melengahkan pembaharuan permit penerbitan akhbar parti berkenaan - Suara Keadilan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata tempoh permit akhbar tersebut telah luput dengan sendirinya selepas KDN tidak menerima penjelasan lanjut mengenai satu berita yang disiarkan akhbar itu.

Katanya, tindakan akhbar terbabit meneruskan penerbitan meskipun permitnya telah tamat tempoh disifatkan sebagai tidak menghormati undang-undang.

"Pada 10 Mac tahun lepas, PKR telah memohon untuk memperbaharui permit penerbitan akhbar itu.

"Walau bagaimanapun, sementara KDN dalam proses mempertimbangkan permohonan mereka, kementerian mendapati akhbar tersebut menyiarkan berita yang menggemparkan pemikiran orang ramai dan tidak benar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abu Seman berkata lanjutan daripada itu, pada 28 Jun tahun lepas, KDN menghantar surat tunjuk sebab kepada ketua pengarang penerbitan akhbar berkenaan dan meminta mereka membuat penjelasan mengenai berita tersebut.

Pada 2 Julai, KDN sekali lagi menghantar surat susulan dan memohon penjelasan lanjut setelah penjelasan yang diterima dari akhbar tersebut tidak memuaskan.

Katanya, sehingga kini kementerian masih belum menerima sebarang jawapan daripada pihak berkenaan.

"Oleh yang demikian, tarikh tempoh permit telah luput dengan sendirinya kerana pihak PKR telah gagal memberi maklum balas.

"Sehubungan dengan itu, KDN tidak memberi apa-apa kelulusan dan akhbar tersebut tidak boleh dicetak, diterbit serta diedar lagi," katanya.

Beliau berkata pada 1 Februari lepas, KDN menyedari bahawa PKR telah menerbitkan dan menjual satu akhbar baru yang juga bertajuk Suara Keadilan, yang mana dari segi tajuk, bentuk dan pengisiannya banyak menyerupai akhbar yang telah tamat tempoh itu.

"Oleh yang demikian, Suara Keadilan yang baru ini memerlukan permit di bawah Seksyen 6, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sebelum ianya boleh dicetak, diterbit dan diedarkan," katanya.

Beliau berkata KDN sentiasa bersikap terbuka, telus dan tidak diskriminasi pada mana-mana pihak dan jelas dilihat dengan kelulusan permit akhbar parti pembangkang lain seperti The Rocket dan Harakah.

"Kedua-dua akhbar itu bekerjasama dengan KDN dalam memberikan penjelasan bagi mencapai persetujuan terhadap sebarang isu yang timbul.

"Namun demikian, KDN sentiasa tegas dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan segala peraturan dan undang-undang dipatuhi," katanya.

Justeru katanya, Suara Keadilan tidak wajar menganggap mereka lebih istimewa dan tidak perlu mematuhi undang-undang negara.


Tiada ulasan: