Ahad, 17 April 2011

Kavyan kecewa Putrajaya dakwa Kamus Dewan hanya milik orang Melayu


KUALA LUMPUR— Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), pertubuhan mewakili penulis kaum India, mendakwa Kementerian Pelajaran menafikan hak bukan Melayu terhadap Bahasa Malaysia ekoran kenyataannya bahawa Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya milik orang Melayu dan tidak boleh dipersoalkan oleh kaum lain.

Presidennya Uthaya Sankar SB berkata, jawapan Kementerian Pelajaran berhubung isu semasa — dakwaan yang Kamus Dewan mempunyai banyak kata-kata menyinggung perasaan kaum India — ternyata cuba menafikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh bangsa Malaysia.

Sebaliknya (Kementerian Pelajaran) memaksa orang lain melihat serta menganggap Bahasa Malaysia (bahasa Melayu) sebagai milik kaum tertentu sahaja.

DBP terletak di bawah penyeliaan Kementerian Pelajaran.

“Jawapan dan pendirian seperti ini yang mewakili kerajaan Malaysia pasti menggagalkan usaha murni mengangkat martabat dan maruah Bahasa Malaysia, serta usaha membina Bangsa Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kamus Dewan semasa adalah edisi keempat, dipasarkan sejak 2005. Edisi pertama keluar pada 1970.

Isu terbaru ini muncul ketika kontroversi novel Interlok masih berlarutan meskipun Kementerian Pelajaran menegaksan ia sudah ditutup.

Uthaya Sankar menambah, Kavyan yang terdiri daripada kumpulan penulis kaum India yang berkarya menggunakan Bahasa Malaysia serta mengendalikan aktiviti sastera, seni dan budaya menggunakan Bahasa Malaysia mempunyai alasan untuk berasa amat kecewa dengan pendirian dan bentuk jawapan yang diberikan oleh Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran.

“Kementerian sepatutnya mengambil langkah merakyatkan Bahasa Malaysia dan bukannya menyempitkan bahasa kebangsaan kepada kaum tertentu.

“Apatah lagi dalam usaha menggalakkan generasi muda pelbagai kaum menggunakan Bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian,” kata beliau.

“Begitu juga dengan hasrat Kerajaan Malaysia menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan,” kata Uthaya Sankar.

Tambah beliau, sekiranya tiada langkah segera diambil bagi membetulkan kenyataan mengelirukan yang dikeluarkan menerusi portal rasmi kementerian berkenaan, nescaya akan menyempitkan kedudukan Bahasa Malaysia semata-mata sebagai bahasa milik hakiki kaum tertentu.

Dalam pada itu, katanya, Kavyan yang diasaskan pada Ogos 1999 akan terus mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh rakyat Malaysia.

Kavyan, kata beliau, terkejut dengan jawapan yang diberikan Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran menerusi portal rasmi kementerian berkenaan berhubung laporan berita di akhbar Makkal Osai akhir bulan lalu.

Kenyataan kementerian itu menyebut bahawa Kamus Dewan disusun berasaskan perkataan-perkataan yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu, termasuklah perkataan-perkataan yang bersumberkan bahasa-bahasa lain seperti bahasa “sukuan atau etnik, bahasa Inggeris, China, Sanskrit, Tamil, Belanda, Arab dan sebagainya”.

Kementerian Pelajaran dalam kenyataannya mengatakan bahawa “perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang terdapat dalam kamus-kamus bahasa Melayu terbitan DBP, ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu dan bukan dari kaca mata bangsa lain.”

Katanya, setiap bangsa di Malaysia mesti menerima hakikat bahawa kamus bahasa Melayu mencerminkan bahasa, adat dan budaya Melayu.

“Terdapat perkataan-perkataan yang digunakan seharian yang dianggap lucah oleh bangsa lain tetapi tidak kepada bangsa Melayu.

“Ada juga perkataan-perkataan yang dianggap mulia pada bangsa Melayu tetapi dianggap menghina oleh bangsa lain,” kata kementerian itu dan menambah, di samping itu ada juga perkataan-perkataan yang dijadikan peribahasa, perumpamaan atau sebagai metafora.

“Semuanya itu ialah sebahaian daripada adat dan budaya orang Melayu yang sepatutnya tidak dipersoalkan,” katanya lagi.

Kementerian itu mengatakan demikian dalam reaksi kepada laporan Makkal Osai bertarikh 31 Mac lalu bahawa Kamus Dewan mengandungi perkataan yang menyinggung perasaan kaum India.
Isu Kamus Dewan mempunyai perkataan-perkataan menyinggung kaum India juga pernah timbul hampir sedekad lalu.

“Kementerian Pelajaran tentu sahaja sedia maklum bahawa pengguna Bahasa Malaysia tidak hanya terdiri daripada kaum tertentu; sebaliknya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Maka, huraian lanjut oleh Unit Komunikasi Korporat kementerian berkenaan berhubung isu sama amat mengecewakan,” katanya lagi.

Uthaya Sankar berkata, Kavyan tidak mahu masuk campur dalam soal apakah perkataan-perkataan yang dikatakan “menyinggung perasaan masyarakat India” dalam isu semasa ini.

Bagaimanapun katanya, perkara yang membuatkan kredibiliti pihak terbabit boleh dipersoalkan adalah bentuk jawapan yang diberikan.

“Terbukti menggambarkan kejahilan” yang sekali gus memusnahkan harapan membina bangsa Malaysia dengan menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama, latar belakang, adat, budaya dan agama,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: