Selasa, 26 April 2011

Kajian: Lemah kuasai bahasa penghalang interaksi kaum

TERKINI

KUALA LUMPUR — Sejumlah besar remaja sekolah vernakular Cina yang tercicir didapati lemah dalam penguasaan sama ada Bahasa Inggeris ataupun bahasa kebangsaan, dan ada kalanya sifar sama sekali, demikian menurut satu kajian.

Pemerhati-pemerhati pula mendakwa situasi ini menyebabkan kumpulan pelajar ataupun remaja masyarakat Cina hanya berinteraksi dengan anggota komuniti sendiri dan membawa kepada polarisasi kaum di negara ini.

Kajian-kajian Kementerian Pelajaran menunjukkan hampir satu dalam empat pelajar Cina telah gagal menamatkan pendidikan sekolah menengah dan kadar keciciran mereka sama membabitkan orang Melayu dan kaum-kaum lain.

Dalam satu kajian terbaru tahun lalu membabitkan 159 sekolah di seluruh negara, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mendapati satu pertiga pelajar dari sekolah-sekolah terbabit tidak faham sama ada Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia apabila mereka melangkah ke sekolah menengah kebangsaan.

Satu pertiga pelajar pula hanya faham sedikit Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia manakala baki satu pertiga boleh menguasainya dengan baik.

Setiausaha Agung KPPK Lok Yim Pheng memberitahu The Malaysian Insider kajian dijalankan untuk mengenal pasti sebab-sebab yang membawa kepada kadar keciciran yang tinggi di kalangan pelajar Cina yang dikehendaki mengikuti kelas peralihan.

“Sesetengah pelajar tidak berminat dalam pelajaran mereka dan (berminat untuk) bermain-main,” kata beliau tetapi tidak mengulas signifikan kajian itu.

Seorang bekas pengetua sekolah Cheng Su Chean berkata, ada pelajar-pelajar CIna yang fasih dalam kedua-dua Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, yang berkaitan dengan pendedahan mereka kepada pelbagai budaya di luar sekolah.

“Kebanyakan kanak-kanak Cina kita tiada persekitaran sedemikian. Dan, pada masa sekarang, mereka tidak bergaul, bukan macam era kita dulu,” kata bekas guru berusia 68 ini yang dahulunya pengetua SJK (Cina) Pudu di sini.

“(Kadar) interaksi mereka terhad. Seramai 98 peratus bergaul dengan kawan-kawan Cina dan hanya bercakap dalam bahasa Cina setiap hari,” katanya.

Felow kanan Institut Penyelidikan Persekitaran Sosioekonomi (Seri), Datuk Dr Toh Kin Woon, mendapati “ini salah satu faktor penyumbang kepada polarisasi kaum.”

“Disebabkan halangan linguistik, mereka tidak berupaya untuk berinteraksi dengan rakan-rakan seusia mereka di sekolah,” kata beliau.

Tan Yew Sing yang mengetuai Dewan Perhimpunan KL-Selangor mengakui bahawa masalah itu adalah serius dan oleh itu, pertubuhan tersebut telah membentuk satu jawatankuasa untuk melihat isu berkenaan dengan mendalam.

Katanya, pemisahan kaum menjadi runcing sepanjang 10 tahun lalu, bermula dengan pendidikan sekolah rendah.

“Keseluruhan sistem pendidikan perlu dirombak. Kita kena cari bagaiamana dapat membina satu persekitaran bagi interaksi dengan mereka dari kelainan latar belakang,” kata Tan kepada The Malaysian Insider.

Tiada ulasan: