Selasa, 19 April 2011

Kabinet Sarawak: Lapan kekal, angkat sumpah

THE MALAYSIAN INSIDER

KUCHING – Lapan bekas menteri negeri yang menang pilihan raya Sarawak kelmarin mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet negeri yang baru hari ini.

Bagaimanapun Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Tan Sri George Tan, yang juga timbalan ketua menteri, yang tewas pilihan raya negeri kelmarin tidak disenaraikan dalam barisan kali ini.

Barisan Nasional (BN) memperoleh 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengekalkan kuasa kerajaan negeri buat penggal ke-10.

Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri malam kelmarin – kira-kira 45 minit selepas BN Sarawak memperoleh majoriti dua pertiga.

Lima daripada daripada lapan pemimpin yang mengangkat sumpah adalah daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan masing-masing seorang wakil Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan SUPP.

Laporan media menyebut mereka mengangkat sumpah memegang jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di bangunan baru Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya di sini.

Anggota Kabinet yang mengangkat sumpah ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu yang juga Timbalan Presiden PBB, Presiden PRS Datuk Seri Dr James Masing, Presiden SPDP Datuk Seri William Mawan, seorang lagi Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Timbalan Setiausaha Agung SUPP Datuk Seri Wong Soon Koh, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Naib Presiden PBB Datuk Seri Michael Manyin dan Timbalan Ketua Wanita PBB Datin Fatimah Abdullah.

Bagaimanapun portfolio baru masing-masing belum diumumkan.

Tiada ulasan: