Selasa, 5 April 2011

Jamil Khir jamin siasat aduan qazaf ‘Datuk T’

Beliau menolak tanggapan segelintir individu terutamanya pemimpin pembangkang mendakwa pihaknya mengambil sikap 'membisu' berhubung isu qazaf.



KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjamin pihaknya akan menyiasat aduan qazaf (pertuduhan zina) yang dilemparkan ‘Datuk T’ terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pendedahan video seks.

Jamil berkata, aduan itu akan diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk siasatan penuh sebelum dibawa kepada pihak pendakwaan.

“Pendakwa raya kemudiannya akan membuat pertimbangan sama ada terdapat kekuatan hasil siasatan itu nanti untuk dibawa kepada pendakwaan,” katanya kepada pemberita di Institut Kefahaman Islam (IKIM) di sini hari ini.

Beliau hadir di majlis perasmian konvensyen pemacuan transformasi perundangan Islam di Malaysia.Sehubungan itu, beliau menolak tanggapan segelintir individu terutamanya pemimpin pembangkang mendakwa pihaknya mengambil sikap ‘membisu’ berhubung isu qazaf.

Semalam Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin memfailkan aduan qazaf di Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) terhadap trio ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Pengerusi Risda Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Aduan dibuat mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah kerana memfitnah Anwar melakukan zina dengan seorang pelacur Cina melalui pendedahan video seks yang ditayangkan kepada media di Carcosa Seri Negara di sini 21 Mac lalu.

Selain itu, beberapa pengakuan Rahim dan Eskay yang mengaku terlibat dalam isu klip video itu turut diserahkan Shamsul kepada pegawai penguatkuasa JAWI untuk tujuan siasatan.

Mengikut undang-undang Syariah, sesiapa yang menuduh seseorang melakukan zina perlu mengemukakan empat orang saksi, jika tidak prosiding qazaf boleh dilakukan dan orang yang menuduh itu boleh didakwa dibawah Akta Jenayah Syariah.

Dalam undang-undang tersebut, menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil hukumnya adalah haram dan termasuk dalam dosa besar serta wajib dikenakan hukuman had Qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebat, dan individu itu tidak lagi boleh diterima pakai sebagai seorang saksi kerana tergolong dalam orang fasiq.

Walaubagaimanapun, Jamil berkata aduan itu perlu disiasat dan diteliti kesahihannya terlebih dahulu mengikut tempat kejadian, iaitu lokasi bilik hotel itu.

“Akta Jenayah Syariah yang terletak di bawah Seksyen 43 untuk qazaf harus dibuat mengikut negeri…kena tahu bilik itu di mana.

“Pendakwa raya akan buat penelitian kes ikut proses biasa…katakanlah kalau (kejadian dalam video) berlaku di sebuah bilik (hotel) di Selangor, jadi kena buat aduan di Selangor,” katanya.

Tiada ulasan: