Sabtu, 30 April 2011

Istiqamah PAS bersama Pakatan Rakyat

Oleh Abu Firdaus


Menjelang pilihan raya umum ini, PAS menghadapi tekanan kuat daripada Umno supaya meninggalkan Pakatan Rakyat.

Ada tiga hujah yang sentiasa dipasakkan oleh Umno kepada PAS sejak pilihan raya umum lalu. Pertama,Anwar Ibrahim itu tidak bermoral dan Keadilan itu mempunyai agenda anti-Islam. Kedua, DAP menggunakan PAS. Ketiga, PAS mesti bersatu dengan Umno demi kepentingan Melayu dan Islam.

Tetapi bukan saja hujah-hujah itu dicanangkan. Gerakan dilakukan supaya pendedahan dibuat untuk menunjukkan bahawa Anwar itu tidak bermoral dan Keadilan itu didokong Yahudi Amerika.

Sementara terhadap DAP pula didedahkan ia merupakan parti rasis Cina yang licik dengan beroperasi memperalatkan PAS.

Akhir sekali, terhadap PAS pula ditonjolkan betapa parti itu berpecah dua, yang satu menyokong Anwar, dan satu lagi menentang Anwar. Maka mereka akan memuji-muji pihak yang menentang Anwar, dan memburukkan golongan yang menyokong Anwar.

Matlamat politiknya mudah, apabila PAS keluar dari Pakatan Rakyat, lemahlah Keadilan dan DAP, danBarisan Nasional kembali cemerlang seperti keadaan pra 2008.

Untuk tujuan itu, Umno sanggup berunding dengan PAS dalam gagasan Kerajaan Perpaduan. Maknanya PAS dan BN tidak perlu berebut kawasan yang sama.

Di mana-mana kawasan yang PAS menerajui, maka BN tidak akan meletakkan calonnya. Sebaliknya PAS dminta menentang calon Keadilan atau DAP.

Dengan cara ini BN akan dapat terus memegang pemerintahan negara dan negeri-negeri. Malah mungkin PAS boleh terus menerajui negeri Kelantan dan Kedah dengan sokongan BN. Hatta di Perak pun, PAS boleh terus menjadi Menteri Besar.

Strategi memecah-belahkan PAS ini juga akan digunaka terhadap bukan saja Keadilan tetapi juga DAP. BN secara tidak langsung akan memberi dokongan moral kepada mana-mana kumpulan Keadilan yang sanggup menentang Anwar.

Maka dalam hal ini, apa yang disebut sebagai Kuasa Ketiga iaitu golongan bekas Keadilan yang menubuhkan kumpulan masing-masing akan diperkuatkan.

Bagi Kuasa Ketiga ini termasuklah Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) pimpinan Raja Petra Kamaruddin, KITA pimpinan Zaid Ibrahim, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) pimpinan Nallakarupan.

Usaha terus dilakukan untuk melemahkan Keadilan. Namun begitu, setakat ini usaha untuk melunyaikan DAP tidak nampak kesannya.

Dalam hal ini, lihatlah bagaimana BN ditubuhkan antara lain adalah untuk mengukuhkan Perikatan dan sekaligus melemahkan pembangkang.

Tetapi lihatlah apa yang berlaku sekarang. PAS dipinggirkan apabila Perikatan kembali kuat. Akhirnya kini Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP) berjaya dilemahkan.

Yang kuat sekarang ialah DAP dan ia merupakan parti utama yang menolak untuk menyertai BN pada tahun 1970.

Sementara Parti Rakyat Malaya (PRM) juga kuat sebagai sebuah parti yang bergabung dalam Keadilan.

Soalannya sekarang, adakah benar DAP memperalatkan PAS sejak tahun 2008? Perlu diingat PAS menang di satu negeri iaitu Kedah dan DAP menguasai satu negeri juga iaitu Pulau Pinang. Kemenangan itu adalah kerjasama semua komponen Pakatan Rakyat.

Bukan itu saja, Selangor dipimpin oleh Keadilan dan paling unik ialah Perak. Ia hakikatnya adalah pimpinan DAP. Tetapi ia tumbang pun kerana ADUN DAP.

Semua ini menunjukkan semua parti dalam Pakatan Rakyat saling bantu-membantu. Tidak boleh disebut bahawa DAP menguasai PAS. Platform Pakatan adalah jelas iaitu urus tadbir kerajaan yang baik.

Mengenai Anwar, ia hanyalah seorang tokoh yang diperlukan oleh Pakatan. Tetapi kalau ditakdirkan beliau terpaksa berundur, maka Pakatan akan tetap diteruskan supaya negara tidak akan kembali kepada keadaan pra 2008 yang berfungsi atas hegemoni Umno.

Tiada ulasan: