Selasa, 19 April 2011

Injunksi larang Samy Vellu tambah ahli MIED

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi membenarkan injunksi yang dipohon bekas timbalan presiden MIC dan dua yang lain bagi menghalang agenda Datuk Seri S Samy Vellu, yang mengetuai Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) daripada menambah ahli tambahan sehingga kes awal ke atas sayap pendidikan parti itu selesai.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan permohonan yang dibawa Datuk S Subramaniam, bekas ketua Pemuda MIC S Vigneswaran dan timbalan pengerusi MIC Kedah Datuk S Ganesan bulan lalu.

Ketiga-tiga mereka, yang merupakan ahli MIED, mengemukakan permohonan bagi menghalang rancangan Samy Vellu, bekas presiden MIC, untuk menambah jumlah ahli sayap itu daripada 34 kepada 50 orang.

Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan Samy Vellu dan sembilan pemegang amanah lain untuk mengetepikan kes yang dibawa ketiga-tiga plaintif itu untuk menghalang pengambilan ahli-ahli baru ke dalam MIED.

Hakim menolak permohonan defendan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di kamarnya hari ini.

Awal bulan lalu, ketiga-tiga mereka memfailkan permohonan injunksi untuk menghalang MIED, yang dipengerusikan Samy Vellu daripada menambah bilangan ahlinya.

Awal bulan lalu juga Samy Vellu menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau sedang berusaha untuk “melarikan” MIED daripada milikan MIC, tetapi mengesahkan agenda mahu menambah ahlinya.

Permohonan injunksi itu meminta agar MIED tidak menambah ahli dan harus kekal dengan bilangan semasa sehingga kes semasa selesai.

Awal bulan lalu, ketiga-tiga mereka juga telah mengemukakan notis rekuisisi menggesa Samy Vellu supaya melepaskan jawatan pengerusi lembaga pemegang amanahnya.

Turut diminta berundur ialah seorang pemegang amanahnya Tan Sri Dr T. Marimuthu.

Notis meminta diadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) itu ditandatangani oleh bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam, Vigneswaran dan bekas Adun Kedah Datuk S. Ganesan, yang juga ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC.

Sejak penubuhannnya, Samy Vellu bertindak sebagai pengerusi lembaga pemegang amanahnya.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh 30 hari kepada Samy Vellu, selaku pengerusi MIED dan tujuh pemegang amanahnya membekalkan beberapa dokumen dalam saman RM100 juta terhadap mereka oleh MIED.

Hakim Mahkamah Dagang Datuk Abdul Aziz Rahim memerintahkan mereka membekalkan dokumen berkenaan termasuk yang berkaitan dengan pembinaan Institut Sains Perubatan dan Teknologi Asian (AIMST), yang didakwa telah menyebabkan kerugian besar kepada cabang pendidikan MIC itu.

Vigneswaran memohon supaya para defendan membekalkan salinan surat pelantikan bekas ketua pegawai eksekutifnya P. Chitirakala dan skop tugasnya.

MIED memohon sebanyak 12 dokumen selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mah Weng Kwai pada 14 Jun membenarkan permohonan untuk menamakan MIED sebagai plaintif dalam cadangan saman terhadap para pemegang amanah MIED.

Selain bekas presiden MIC Samy Vellu, penggantinya sebagai Presiden MIC Datuk G Palanivel, Tan Sri M Mahalingam, Marimuthu, Tan Sri Dr S.K. Ampikaipakam, Tan Sri Dr K.S. Nijhar, K. Kumaran dan Tan Sri G. Vadiveloo dinamakan sebagai defendan.

Dalam saman yang difailkan pada 5 Julai lalu, MIED mendakwa kesemua defendan telah melakukan kecuaian, kesalahan aturan kewangan, kemungkiran tanggungjawab sebagai pemegang amanah, juruaudit, dan fidusiari, yang telah membawa kerugian besar kapada MIED.

Ia juga memohon perintah injunksi bagi menghalang dan menyekat Samy Vellu daripada terus berkhidmat sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah, mahu Samy Vellu dilucutkan keahlian beliau dari MIED dan perintah supaya Samy Vellu mengembalikan kesemua wang dan atau apa keuntungan dan kepentingan dari dana MIED yang telah diterima olehnya (Samy Vellu) sama ada secara langsung atau melalui ahli keluarga beliau atau kawan rapat beliau.

MIED mahu perintah mahkamah bahawa Samy Vellu membayar balik kesemua kerugian yang telah dialami oleh MIED dalam tempoh masa di mana beliau telah mentadbir sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah.

Vigneswaran memohon kebenaran mengikut ketetapan Seksyen 181A, Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan pihak-pihak yang mahu dinamakan bagi pihak syarikat sebagai plaintif dalam saman itu, perlu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah untuk berbuat demikian.

Tiada ulasan: