Khamis, 14 April 2011

Hata didapati bersalah memburukkan Utusan

Salhan K Ahmad

Panel siasatan dalaman Utusan Melayu (M) Bhd mendapati wartawannya Hata Wahari bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan nama syarikat itu melalui laporan yang disiarkan beberapa media.

Hata yang merupakan wartawan kanan di akhbar Utusan Malaysia berkata, panel berkenaan akan mengemukakan syor kepada pengurusan Utusan Melayu bagi mengambil tindakan ke atasnya.
NONE“Dalam masa dua minggu lagi akan dapat keputusan (daripada pengurusan Utusan Malaysia),” kata Hata ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.Hata berkata, lapan tuduhan yang dikemukakan ke atasnya itu adalah berdasarkan lapan laporan berlainan yang disiarkan Malaysiakini, akhbar The Sun dan dua lagi portal berita.

Hata yang juga presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan sebelum ini sering mengutarakan pandangan yang lantan berhubung isu pemilikan akhbar Utusan Malaysia, kejatuhan edaran akhbar dan ‘kelemahan’ dalam kepengarangan akhbar berkenaan.

Tambahnya, keputusan hari ini dibacakan oleh pengerusi panel siasatan berkenaan, Mohd Basir Abdul Rahim, hari ini.

Ketika ditanya, Hata berkata beliau tidak dapat menjangkakan hukuman yang bakal dikenakan ke atasnya.

Wartawan berkenaan bagaimanapun telah digantung kerja sejak 11 Januari lalu oleh pengurusan Utusan.

Dalam satu siasat panel berkenaan pada awal bulan lalu ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu, Datuk Aziz Ishak berkata wartawan kanannya itu mempunyai niat jahat terhadap akhbar tersebut.


Tiada ulasan: