Ahad, 3 April 2011

Fuziah: MB perlu jawab soalan saya dahulu

Ahli Parlimen Kuantan mahu persoalan berkenaan tahap piawaian dan keselamatan dari kesan radiasi dijawab oleh Menteri Besar Pahang sebelum kelulusan di beri untuk loji pemprosesan nadir bumi.



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mahu persoalan berkenaan kontroversi loji pemprosesan nadir bumi (rare earth) oleh Lynas Corporation Limited dari Australia, dijawab oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Adnan Yaakob sebelum kelulusan untuk pembinaan loji tersebut dibuat.

“Mengapa tiada negara di dunia selain dari China bersetuju membenarkan pemprosesan ‘rare earth’ sejak tiga dekad yang lalu?”

Fuziah juga mencadangkan Adnan mengetahui pendirian kerajaan Terengganu apabila Lynas memohon untuk mendirikan loji serupa di Teluk Kalung empat tahun yang lalu.

Beliau turut mempersoalkan kaedah pengurusan sisa pepejal (‘leach purification solids’) dan peraturan kawalan yang akan digunakai.

“Adakah Pengurusan Sisa Radioaktif Pejal yang diamalkan oleh Lynas setelah memulakan operasi ajan menepati piawaian? Piawaian manakah yang akan digunakan? Piawaian China British atau Australia?”

Fuziah turut mempersoalkan kesan sisa radioaktif terhadap industri perikanan, pelancongan dan industri tempatan lain di kawasan Kuantan.

Adnan dilaporkan memberikan lampu hijau untuk pembinaan loji rare earth setelah mendengar taklimat berkenaan tahap keselamatan radiasi dan radioaktif daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA).

Adnan turut menuduh parti pembangkang sebagai menggunakan isu ini demi kepentingan politik.

Sebagai reaksi kepada kenyataan Adnan, Fuziah berkata bahawa LPTA semata-mata adalah tidak menyeluruh.

“Industri pemprosesan ‘rare earth’ ini merupakan industri yang melibatkan pelbagai bidang kepakaran dan melibatkan pembuatan dasar pelbagai kementerian.”

Fuziah turut menggesa Adnan mendapatkan pandangan badan bebas berkenaan impak pembinaan loji dan impak operasi pemprosesan terhadap keselamatan awam, kesihatan, dan tahap sosio-ekonomi penduduk Kuantan.

Loji nadir bumi yang akan dibina di Gebeng, Kuantan sehingga kini telah mendapat tentangan penduduk setempat, pakar toksikologi, pertubuhan bukan kerajaan dan parti komponen Pakatan Rakyat.

Malah 100 penduduk Gebeng turut berhimpun secara aman sebagai tanda bantahan di Parlimen pada hari Rabu tetapi gagal menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak.

Tiada ulasan: