Jumaat, 15 April 2011

DUN Sarawak: TI-M gesa SPR jamin pengundian bebas, adil

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Ketika tinggal kurang 12 jam hampir sejuta pengundi bakal keluar mengundi untuk memberi mandat baru, Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan pilihan raya negeri Sarawak esok diadakan dengan bersih dan bebas.

Ini kali pertama Sarawak menyaksikan pilihan raya negeri paling sengit dan kesemua kerusi dipertandingkan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat petang ini, TI-M berkata, integriti mesti digambarkan dalam pengendalian pilihan raya.
“TI-M mahu SPR (tegas) menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tanpa rasa takut atau memihak mana-mana pihak bagi mengelakkan insiden-insiden tidak diingini seperti politik wang dan beli undi,” kata TI-M dalam kenyataannya.

Katanya, kesemua parti yang bertanding mesti mematuhi undang-undang tersebut dan bersaing dalam keadaan yang adil.

“Sebagai sebuah institusi yang bebas, peranan SPR adalah penting dalam memastikan pilihan raya negeri Sarawak bebas daripada pelanggaran peraturan dan salah guna,” kata TI-M.

Malah katanya, SPR juga wajib untuk melaksanakan kesemua undang-undang dengan adil dan untuk mengelakkan rasuah pengundian, manipulasi dan salah guna kuasa dalam apa jua bentuk.

“Keyakinan orang ramai ke atas SPR akan terjejas jika proses pilihan raya tercemar,” kata TI-M yang turut kecewa dengan tindakan kerajaan negeri menghalang wakil badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 memasuki Sarawak.

“Kehadiran pemantau untuk memantau dan memerhati perjalanan pilihan raya negeri dan ia adalah hak yang tidak harus dirampas oleh sesiapa,” katanya lagi.

Tiada ulasan: