Sabtu, 16 April 2011

DUN Sarawak: Pengundian sudah berakhir, fokus beralih proses kira undi

THE MALAYSIAN INSIDER

KUCHING – Proses pengundian di kesemua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri yang menyaksikan persaingan sudah berakhir dengan pilihan raya negeri ke-10 kini memasuki fasa seterusnya – proses pengiraan.

Sebanyak 1,413 pusat pengundian telah ditutup setakat 4 petang tadi manakala yang baki sejam kemudian.

Proses pengundian pada keseluruhannya berjalan dengan lancar tetapi keputusan-keputusan tidak rasmi menunjukkan banyak memihak kepada Pakatan Rakyat tetapi Barisan Nasional (BN) disebut-sebut akan mengekalkan kuasa yang diwarisi sejak 1963.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik Bernama Online meminta rakyat jangan mudah tertipu dengan dakwaan tidak benar mengenai kemenangan pembangkang dalam pilihan raya negeri Sarawak pada hari ini.

Beliau berkata kononnya pembangkang telah menang dan Barisan Nasional sudah kalah sedangkan proses pengundian belum selesai dan akan berjalan hingga pukul lima petang ini.

“Dakwaan yang tersebar di internet adalah satu pembohongan kerana pengundian masih belum selesai dan undi belum dikira,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen Sarawak hari ini.

Beliau turut berkata tindakan pembangkang sekadar perang psikologi untuk mengelirukan pengundi dalam pilihan raya.

Katanya, hal ini dikira sebagai taktik kotor yang terdesak oleh pakatan pembangkang kerana masih belum ada keputusan rasmi mereka mendahului SPR.

Tambahan pula, kata beliau, beliau difahamkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meninggalkan Sarawak untuk ke London atau Amerika Syarikat.

“Kenapa awal-awal dia tinggalkan Sarawak sedangkan pakatan pembangkang kononnya dikatakan menang pilihan raya?” katanya lagi.

Tiada ulasan: