Sabtu, 9 April 2011

DUN Sarawak: Kempen dijangka ‘hangat’ hujung minggu

THE MALAYSIAN INSIDER

KUCHING — Kempen pilihan raya negeri Sarawak ke-10 yang kini bertambah panas dijangka semakin memuncak dalam tempoh dua hari akan datang, hujung minggu terakhir sebelum hari pengundian 16 April.

Calon-calon daripada parti politik utama dan para penyokong mereka akan silih berganti mengunjungi pelbagai kawasan termasuk pasar, tamu dan medan selera untuk memancing undi bagi 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertaruhkan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang tiba di Sibu petang ini untuk membantu kempen Barisan Nasional (BN), juga akan berada di Bintulu esok di mana beliau dijadual melancarkan Pusat Prasekolah Sedidik SEDC di rumah panjang Saik Ak Jaya.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN juga dijadual melawat pasar utama di Bintulu dan Balai Raya Sebauh untuk sesi pemimpin bertemu rakyat.

Bernama Online menyebut, usaha memancing undi lebih sengit dan ketara di antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), wakil masyarakat Cina dalam parti komponen BN negeri dan DAP.

Kedua-dua parti itu terlibat dalam pertarungan untuk muncul sebagai pejuang masyarakat Cina. Mereka akan bersaing untuk menguasai 15 kerusi dan 12 daripadanya ialah di kawasan bandar yang penduduknya majoriti Cina.

Semalam, BN menjadi parti pertama mengumumkan rancangan pembangunan dan janjinya dalam perang manifesto, menggariskan pelan sembilan perkara untuk meletakkan Sarawak di landasan ke arah menjadi negeri termaju di Malaysia.

Malah Bernama Online juga melaporkan bahawa Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud memilih Sibu, bandar Raya yang penghuninya majoriti Cina, untuk melancarkan manifesto itu yang menggariskan antara lain, BN akan berusaha menjana lebih banyak peluang perniagaan, menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka, menyediakan peluang pekerjaan, menyediakan peluang pendidikan, meningkatkan kualiti hidup golongan miskin dan memelihara alam sekitar, budaya, warisan dan kepercayaan semua kaum di Sarawak.

DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS melancarkan manifesto bersama hari ini dengan slogan “Jom, Ubah Sarawak” dengan meminggirkan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) ekoran pertikaian parti itu mengenai pembahagian kerusi dengan PKR.

SNAP, sebuah parti yang berpangkalan di Sarawak memutuskan untuk menugaskan 26 calon parti itu untuk mengedarkan manifesto dua muka surat mereka yang memuatkan sejarah parti dan janji untuk menangani isu tanah hak adat (NCR) dan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih adil.

“Kami telah menyediakan (manifesto) yang tebal tetapi siapa akan baca muka surat yang banyak? Kami mempunyai versi yang ringkas dan telah diagihkan kepada calon-calon kami,” kata setiausaha agung SNAP Stanley Jugol semasa dihubungi.

Di KUCHING, di mana SUPP mensasarkan untuk merampas semula kerusi DUN Padungan, Pending, Batu Lintang dan Kota Sentosa, dan mempertahankan kerusi DUN Batu Kawah, kelima-lima calon parti akan bergerak sebagai satu pasukan, menurut Dr Sim Kui Hian, ahli kardiologi terkemuka yang akan bertanding buat julung kalinya.

Dr Sim, yang diletakkan bertanding di DUN Pending, yang mempunyai jumlah pengundi terbanyak iaitu 29,488 pemilih berdaftar, telah mewujudkan laman web www.realheart.com.my untuk menggariskan janjinya “real heart, real action, real change” (hati ikhlas, bertindak pantas, perubahan sebenar).

“Beri kami lima tahun dan kami akan tunjukkan anda kad laporan kami,” katanya semasa ditemui semasa waktu rehat makan tengah hari di pusat komersial Kenyalang Park.

Di Miri, kampung halaman Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan, veteran parti Datuk Lee Kim Shin mengutuk slogan “Jom, Ubah Sarawak”, menyatakan pembangkang sendiri tidak melakukan perubahan dan lebih suka melemparkan tuduhan tidak berasas khususnya terhadap SUPP.

Bercakap kepada Bernama selepas majlis perasmian ruang pejalan kaki berbumbung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tudan, beliau berkata sekolah itu adalah satu daripada banyak contoh usaha SUPP selama ini dalam menyediakan lebih banyak kemudahan pendidikan.

“SJKC Tudan dan semua ini telah dibina oleh SUPP. Tiada satu sen pun, tiada sebiji batu pun daripada mereka (pembangkang). Apa yang mereka buat ialah cakap dan cakap. Sebelum mereka minta rakyat untuk berubah, mereka sendiri perlu berubah terlebih dahulu dan bukan menjadi parti tiada tindakan,” kata Lee yang akan bertanding di DUN Senadin bagi penggal keempat.

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Mohmad Salleh hari ini berkata polis setakat ini telah meluluskan 200 permit untuk ceramah dan jumlah yang banyak itu disebabkan terdapat 213 calon yang bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika dihubungi Bernama pula menyatakan setakat ini tiada calon termasuk 41 calon Bebas, memohon untuk menarik diri dan tempoh untuk berbuat demikian akan tamat tengah malam esok

Tiada ulasan: