Ahad, 17 April 2011

Dua Pemuda Terlepas Tuduhan Bunuh Naib Pengerusi Pemuda MCA Padang Serai

BERNAMA

ALOR SETAR: Dua pemuda pada Ahad, terselamat daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Alor Setar mendapati mereka tidak bersalah atas tuduhan membunuh naib pengerusi Pemuda MCA Padang Serai, Ching Eng Wah, empat tahun lepas.

Abdul Nirwan Abdul Aziz, 31, dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang dan Mohamad Zalmizi Hasim, 27, dari Bachok, Kelantan, kedua-duanya bekerja sendiri semasa ditangkap, dibebaskan dan dilepaskan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zakiah Kassim berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua tertuduh terbabit dengan pembunuhan itu, saksi-saksi penting tidak dipanggil, tiada saksi yang benar-benar melihat pembunuh dan pistol yang dijadikan barang kes tidak berfungsi.

Eng Wah, 43, ditembak di kepala semasa memberhentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat jalan Lunas/Padang Serai semasa dalam perjalananpulang selepas bersarapan bersama isterinya, Low Mui Keow pada 17 Ogos 2007.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Nirwan dan Mohamad Zalmizi secara bersama dituduh melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian Ching Eng Wah dengan melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol di persimpangan lampu isyarat jalan Lunas/Padang Serai kira-kira 8.50 pagi 17 Ogos 2007.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama, iaitu hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Dalam kes ini, pistol yang ditemui di rumah seorang saksi berkarat menyebabkan tembakan ujian tidak dapat dijalankan manakala isteri mangsa tidak melihat dengan jelas (wajah) pembunuh.

"Walaupun isteri mangsa dapat mengecam pembunuh melalui kawat cam, namun ia hanya atas rasa syak yang kuat dan tidak boleh dijadikan keterangan atau bukti di mahkamah," kata Zakiah.

Kedua-dua tertuduh yang masing-masing mempunyai seorang anak perempuan semasa ditemui di luar mahkamah selepas dibebaskan bersyukur dengan keputusan itu namun masih menutup sebahagian muka mereka.

Abdul Nirwan berkata beliau akan mengadakan majlis khenduri kesyukuran manakala Mohamad Zalmizi akan pulang ke Bachok malam ini untuk menemuikeluarganya.

Mereka diwakili peguam Noran Singh dan Ai Cha Ran manakala Timbalan Pendakwa Raya Ana Rozana Mohd Nor mengendalikan kes.

Tiada ulasan: