Ahad, 10 April 2011

Dominique Ng: Saya akan tinggalkan politik jika kalah teruk

THE MALAYSIAN INSIDER


Ng senyum untuk kamera sewaktu ceramahnya semalam di Padungan. — Gambar oleh Choo Choy May

KUCHING— Calon Bebas bagi kerusi DUN Padungan Dominique Ng Kim Ho yakin bahawa beliau tidak akan berada di tempat tercorot dalam pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya negeri Sarawak Sabtu depan.

Jika perkara itu berlaku, Ng berkata beliau akan bersara daripada politik buat selama-lamanya.

Dipetik Bernama Online, Ng, 50, yang juga penyandang kerusi DUN Padungan berkata pengundi di kawasan DUN Padungan seharusnya mempunyai kata pemutus.

“Saya berani bertaruh jika saya berada di tempat tercorot dalam pilihan raya ini, saya dengan sukacitanya akan bersara daripada politik,” katanya.

Ahli politik veteran itu akan menghadapi tentangan daripada calon Barisan Nasional (BN) Sim Kiang Chiok dan wakil DAP Wong King Wei.

Ng berkata beliau juga berazam meneruskan perjuangannya untuk mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya pada pilihan raya negeri 2006.

Beliau merupakan satu-satunya calon PKR yang menyumbangkan kerusi kepada parti itu pada pilihan raya lepas, setelah menang dengan majoriti 1,417 undi dengan mengalahkan Lily Yong Lee Lee daripada BN.

Pada pilihan raya negeri 2006, PKR bertanding bagi 25 kerusi.

Bagaimanapun, pada pilihan raya akan datang, PKR bertukar kerusi dengan DAP dua hari sebelum hari penamaan calon, dengan mengambil DUN Batu Lintang dan memberi kerusi DUN Pandungan kepada DAP, manakala nama Ng pula digugurkan daripada senarai calon PKR.

Ng, yang menjangkakan akan dinamakan sebagai seorang daripada 49 calon PKR bagi pilihan raya 16 April ini, kemudian keluar daripada parti.

“Saya akan mengharunginya sehingga selesai. Jika ada yang mahu berundur, DAP yang sepatutnya berundur, bukan saya. Untuk rekod, mereka belum pernah memenangi kerusi DUN Padungan.

“Disebabkan tindakan khianat ini, saya terpaksa menyediakan bahan pilihan raya yang baru. Saya akan mempunyai papan iklan dan bahan pilihan raya lain yang baru tidak lama lagi,” kata beliau.

Tiada ulasan: