Ahad, 10 April 2011

Dominique Ng Harus Berundur

Ditulis oleh Frederick Roy



SHAH ALAM : Bekas Ketua Majlis Pimpinan PKR Negeri Sarawak, Dominique Ng Kim Ho seharusnya berundur dari bertanding sebagai calon bebas di Padungan pada pilihanraya DUN Sarawak 16 April ini.

Penasihat DAP, Lim Kit siang dalam kenyataan medianya berkata, beliau turut bersependapat dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa Dominique perlu berundur agar tidak merosakkan peluang Pakatan Rakyat memenangi kerusi DUN Padungan.

"Ng Kim Ho patut menerima nasihat Dr Wan Azizah dan tarik diri daripada pilihanraya Sarawak 16 April ini agar tidak merosakkan peluang PR dan calon DAP, Wong Kin Wei menang kawasan DUN Padungan," kata beliau.

Menurut Kit Siang, mengikut undang-undang pilihanraya, Dominique masih berpeluang untuk menarik diri sehingga pada tengah malam sebelum hari pilihanraya pada 16 April nanti.

"Perebutan kerusi Padungan dan Sarawak umumnya hanya di antara PR dan BN.Calon SUPP-BN, Sim Kiang Chiok berkemungkinan akan menang kerana pecahan undi antara PR dan Dominique dan tetap bertanding sebagai calon bebas," jelas beliau.

Semalam presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan calon Bebas bagi DUN Padungan, Dominque Ng Kim Ho supaya menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini.

Sebelum ini, Ng dilaporkan berkata, beliau tidak menyerang pembangkang, tetapi akan mensasarkan BN.

Selasa lepas, Ng mengumumkan keluar daripada PKR untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi DUN Padungan setelah tidak dipilih oleh kepimpinan parti untuk mempertahankan kerusinya susulan pertukaran kerusi oleh PKR dengan DAP.

Beliau berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon BN, Sim Kiang Chiok dan wakil DAP Wong King Wei.

Tambah Kit Siang, Padungan merupakan medan tempur antara Wong dan Sim maka peluang Dominique menang di sana amat tipis, oleh itu Dominique perlu memberi keutamaan kepada kepentingan masyarakat Sarawak dan Malaysia umumnya yang dahagakan pembentukan institusi sistem dua parti di Sarawak dan Malaysia, bukannya memberi kemenangan kepada Sim dengan perbezaan kecil.

Katanya lagi, isu paling penting dalam pilihanraya DUN sarawak bukanlah berkenaan mana-mana individu tetapi untuk menyampaikan mesej bahawa sudah cukup untu Ketua Menterinya, Tan Sri Taib Mahmud memerintah Sarawak serta perlu berundur serta-merta selepas 16 April nanti dan bukannya selepas dua atau tiga tahun selepas itu.

Tiada ulasan: