Khamis, 28 April 2011

Ditulis oleh Ayie



SHAH ALAM : Kerajaan Selangor akan memastikan tiada penyelewengan kuasa dalam urus tadbir di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya dalam pemberian kontrak.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya bertegas dalam mendepani perkara ini dan mencadangkan setiap PBT agar menggunapakai kaedah pemilik dan pengendali bagi mengelakkan sebarang masalah seperti amalan Ali Baba.

"Kita sekarang telah memberi beberapa cadangan kepada PBT termasuk dalam memilih kontraktor berdasarkan konsep 'Owner Operator' dimana individu yang menerima kontrak bertanggungjawap penuh dalam menjalankan operasi tersebut,"kata Khalid.

Khalid berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Selangor hari ini.

Baru-baru ini, bekas majikan Teoh Beng Hock, Ean Yong Hian Wah tampil menafikan bahawa bekas pembantunya adalah orang tengah kepada kontraktor dalam menguruskan sebut harga untuk suatu projek, yang akan dirujuk kepada Beng Hock terlebih dahulu sebelum dipersetujui beliau.

Malah Hian Wah turut kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menggunakan ruang Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk mengutuk DAP dan juga mendiang Beng Hock.

Menurut Hian Wah, SPRM seolah-olah menuduh salah sebuah cawangan parti itu dan Beng Hock menerima rasuah dan komisyen daripada kontraktor yang membawa kepada kematian Beng HOck.

Mengulas isu ini, Khalid menjelaskan pelaksanaan konsep yang dicadangkan oleh kerajaan negeri itu mampu mendepani isu penjualan kontrak kepada pihak lain.

"Pihak kami telah laksanakan dan SPRM sendiri telah menyatakan tiada bukti yang jelas dan nyata tetapi kita percaya spekulasi akan terus berleluasa, sebab itu menerusi kaedah ini kita tahu dan dapat mengesan siapa yang menjalankan kerja-kerja tersebut dan ini mampu menyelesaikan masalah spekulasi berkaitan pemberian kontrak,"jelas Khalid lagi.

Turut hadir pada sidang media sama, Exco Selangor Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu.

Tiada ulasan: