Isnin, 11 April 2011

‘Datuk T’ Shuaib lepaskan jawatan bendahari Perkasa

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Perkasa melakukan rombakan kepimpinan dengan melantik Dr Marzuki Ibrahim sebagai bendahari agung bagi menggantikan Datuk Shuaib Lazim — salah seorang “Datuk T” yang bulan lalu mengaku terlibat dalam pendedahan rakaman video seks, didakwa melibatkan pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, Marzuki dilantik bagi menggantikan Shuaib yang melepaskan jawatan kerana masalah kesihatan.

“Pertukaran jawatan Bendahari Perkasa adalah kerana Datuk Shuaib Lazim tidak berapa sihat sejak kebelakangan ini,” kata beliau.

Shuaib bersama dua “Datuk T” iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah mendedahkan video seks itu yang menggemparkan negara.

Ketiga-tiga mereka telah memberi keterangan kepada polis empat hari selepas mempertontonkan rakaman video seks kepada media pada 21 Mac lalu.

Syed Hassan juga berkata mesyuarat Perkasa pusat hari ini juga telah melantik Ketua Wira Perkasa yang baru iaitu Irwan Fahmi Ideris yang merupakan Naib Ketua Wira Perkasa sebelum ini.

Dia menggantikan Arman Azha Abu Hanifa yang telah meletakkan jawatan baru-baru ini.

“Begitu juga bagi jawatan Ketua Wiranita yang telah dikosongkan Raihan Suleiman, digantikan dengan Datin Paduka Norkhaila Jamaluddin,” katanya.

Perkasa juga melantik Yang Dipertua Perkasa Wilayah Persekutuan yang baru Sharifuddin Abdul Hamid bagi menggantikan Datuk Mokhtar Samad yang melepaskan jawatan atas alasan sibuk dengan tugasnya sebagai Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.

Syed Hassan berkata mesyuarat juga telah memutuskan untuk mewujudkan satu badan dipanggil Badan Pemantau Prestasi Bumiputera (Pemantau).

“Badan ini akan diketuai oleh Pengerusi Biro Ekonomi Perkasa yang juga Naib Presiden Perkasa, Dr. Zubir Harun,” katanya.

Anggota Jawatankuasa Pemantau ialah beberapa pimpinan NGO Melayu dan Bumiputera yang telah bersetujui untuk bersama Perkasa, kata beliau.

“Pemantau diwujudkan bagi memastikan prestasi Bumiputera sentiasa diukur, dianalisis dan dibahaskan secara berkesinambungan.

“Segala data dan analisis yang diperoleh menerusi Pemantau dapat diguna pakai oleh semua pihak demi kepentingan ekonomi Bumiputera,” katanya lagi.

Tiada ulasan: