Selasa, 19 April 2011

Daftar pengundi baru fokus Umno bahagian, kata SU Agung

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Soal pendaftaran pengundi baru khusus di kalangan anggota Umno sendiri dan pendaftaran pengundi muda dijangka menjadi fokus utama apabila 191 bahagian Umno mula mengadakan mesyuarat tahunan pada 1 Mei hingga 15 Jun ini.

“Umno bahagian diharap dapat meneliti senarai keahlian mereka bagi memastikan anggota yang telah berusia 21 tahun dan layak mengundi diingatkan untuk segera mendaftar sebagai pengundi.

“Keahlian Umno dibuka kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas, jadi kita harap cawangan dan bahagian meneliti senarai keahlian mereka dan bagi yang telah mencapai umur 21 tahun, arahkan mereka untuk daftar sebagai pengundi,” kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dipetik Bernama Online.

Beliau juga mahu lebih banyak program untuk mendekati rakyat dan penerangan tentang gagasan 1 Malaysia dilakukan di peringkat bahagian.

Tengku Adnan juga berkata seluruh anggota Umno diharap dapat memahami proses baru pemilihan pucuk pimpinan parti bagi memastikan proses pemilihan yang dianggar akan diadakan pada 2012 dapat berjalan lancar.

Katanya Umno akan menggunakan kaedah terbaik untuk memberi penjelasan kepada seluruh anggotanya mengenai proses pemilihan yang akan diadakan mengikut pindaan perlembagaan parti 2009.

“Oleh kerana tahun ini tidak ada pemilihan parti, jadi kita anggap ia akan dilaksanakan pada 2012 dan saya sangat berharap semua anggota parti sudah faham pindaan yang dibuat termasuk mengenai pemilihan,” katanya.

Mengenai cadangan untuk mengadakan pemilihan olok-olok di peringkat cawangan dan bahagian pada tahun ini sebagai persediaan ke arah pemilihan sebenar, Tengku Adnan berkata setakat ini ia masih belum dilaksanakan.

“Namun daripada apa yang saya dapat lihat mereka faham (pindaan perlembagaan parti) kerana kita telah memberi penerangan di Janda Baik bagaimana untuk melaksanakan pindaan ini,” katanya.

Tengku Adnan turut meluahkan keyakinan bahawa kekecohan yang berlaku dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lepas tidak akan berlaku pada Umno.

“Kita berbeza daripada PKR atau parti pembangkang lain kerana kita merupakan parti yang tersusun yang asasnya sudah ada, jadi kita ikut sahaja,” katanya.

Tiada ulasan: