Sabtu, 30 April 2011

Anugerah Tokoh Terbilang UMNO Adalah Tokoh Wanita - Najib

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat malam bersetuju untuk mengurniakan 'Anugerah Tokoh Melayu Terbilang' kepada seorang wanita sempena sambutan Hari Ulang Tahun Umno ke-65 pada 11 Mei ini, kata Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, ia adalah sebagai penghargaan kepada wanita yang banyak menyumbang kepada negara memandangkan sebelum ini anugerah itu hanya dianugerahkan kepada golongan lelaki.

"Pada kali ini kita buat penambahbaikan untuk menghargai peranan wanita. Kita akan beri dua anugerah iaitu satu untuk Tokoh Lelaki Melayu Yang Terbilang dan (kedua) Tokoh Wanita Melayu Yang Terbilang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini.

Bagaimanapun, kata Najib, nama-nama tokoh berkenaan akan dirahsiakan sehingga pada malam sambutan berkenaan.

Sambutan itu akan dimulakan dengan solat Maghrib, bacaan tahlil, solat Isyak dan diikuti dengan majlis makan malam, menaikkan bendera dan sebagainya, katanya.

Dalam pada itu, Majlis Tertinggi itu juga membincangkan mengenai keputusan pilihan raya Sarawak pada 16 April lepas, dari pelbagai aspek yang boleh dijadikan pengajaran terhadap Barisan Nasional (BN).

"Kita lihat dari segi aspek jentera, pentadbiran, aspek isu dan bagaimana kita tangani isu daripada kesan pilihan raya itu. Kita baca dari semua sudut," kata Perdana Menteri.

Najib berkata, tujuan beliau dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun ke Sarawak pada pilihan raya negeri itu adalah semata-mata untuk membantu supaya BN Sarawak mencapai kemenangan.

Ditanya sama ada pilihan raya Sarawak akan dijadikan persediaan BN menghadapi pilihan raya umum ke-13, Najib berkata proses persediaan itu adalah satu proses yang berterusan.

"Jadi apa yang kita buat itu (persediaan) adalah untuk mengukuhkan lagi Umno sebagai sebuah organisasi sama ada untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang mahupun Umno itu sendiri sebagai sebuah parti politik yang perlu melalui proses perubahan...transformasi politik itu merupakan satu agenda yang sedang kita perjuangkan," katanya.

Tiada ulasan: