Selasa, 5 April 2011

2 wanita 3 lelaki dipilih PAS untuk keputusan terbaik

Harakahdaily

KUCHING, 5 April: PAS mensasarkan untuk menghantar sekurang-kurang seorang hingga tiga wakilnya ke dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam pilihan raya negeri kali ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

Untuk itu, katanya, PAS yakin pilihan raya negeri Sarawak kali ini adalah yang terbaik akan dicapai oleh PAS selepas dua kali menyertai pilihan raya negeri sebelum ini.

(Gambar: Abang Ahmad, Beting Maro [kiri] dan Adam Ahid, Sebuyau [kanan sedang bercakap], dua dari lima calon PAS dalam PRN Sarawak)

Sebelum ini, dalam pilihan raya negeri 2001, PAS bertanding tiga kerusi DUN namun pada tahun 2006 hanya satu kerusi sahaja. Pilihan raya kali ini, PAS bertanding lima kerusi.

Kerusi yang dipertandingkan oleh PAS dalam pilihan raya kali ini adalah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjung Datu. Rakan PAS, DAP akan bertanding di 15 kerusi manakala PKR akan bertanding di 49 kerusi selepas usaha perundingannya dengan Snap gagal.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi bersama timbalannya, Nasharudin Mat Isa yang menjadi pengarah pilihan raya ini berada di sini sejak beberapa hari lalu.

Dalam pilihan raya ini, PAS meletakkan dua calon wanita manakala tiga calon lelaki.

Calon-calon wanita PAS adalah Puan Hani Shafi di Tanjung Datu dan Puan Noraini Hamzah (gambar kiri) di Muara Tuang.

Tiga lagi calon PAS adalah Pesuruhjaya PAS, Adam Ahid akan bertanding di Sebuyau dalam Parlimen Batang Lupar.

Sementara itu, Abang Ahmad Kardee, seorang peguam muda anak tempatan Beting Maro akan bertanding di situ dalam pilihan raya kali ini. DUN ini juga terletak dalam Parlimen Batang Lupar di Sarawak Tengah.

Seorang lagi calonnya adalah Ketua Pemuda PAS Sarawak, Abang Eddy Allyanni Abang Fauzi yang akan bertanding di Sadong Jaya. Dalam pilihan raya umum 2008, Abang Eddy adalah calon PAS di Parlimen Batang Lupar namun tewas di tangan calon BN, Datuk Ruhani Karim.

Semalam, PAS telah memperkenalkan tiga calonnya kepada penduduk tempatan. Presiden PAS, Abdul Hadi Awang memperkenalkan memperkenalkan Abang Ahmad di Beting Maro, timbalannya, Nasharudin Mat Isa memperkenalkan Adam Ahid di Sebuyau, manakala Mustafa memperkenalkan Nuraini di Muara Tuang.

Ustaz Hadi mengumumkan calon PAS Beting Maro di Kampung Beladin iaitu rumah Haji Alem Din, bekas calon PAS di situ dalam pilihan raya 2006.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan amanat kepada jentera dan penyokong PAS DUN Beting Maro.

Pada majlis tersebut beliau telah mengumumkan Abang Ahmad Kardee Bin Abang Masagus, 32 tahun sebagai calon PAS untuk menghadapi pilihanraya Sarawak pada kali ini.

Malam ini, Abdul Hadi dan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan memperkenalkan Puan Hani Shafi yang akan bertanding di Tanjung Datu manakala Mustafa akan memperkenalkan Abang Eddy di Sadong Jaya.

Tiada ulasan: