Ahad, 17 April 2011

100 pesawah semakin bimbang hakisan Sungai Pegalan

KENINGAU KINI

KENINGAU: Nyawa kira-kira 100 pesawah di Kg. Toboh Laut umpama telur di hujung tanduk, berikutan hakisan Sungai Pegalan yang semakin kritikal dan kini memusnahkan sekurang-kurang 300 ekar sawah di kawasan itu.

“Beberap lot tanah penduduk sudah lenyap begitu sahaja dan dia kini berada di atas sungai,” jelas seorang petani – Sugit Bin Gopuon, 55.

Sugit berkata, sekurang-kurangnya tiga meter sawah mereka terhakis pada setiap hari dan Sungai Pegalan sedang membentuk haluan baru, yang menghala ke kawasan kediaman pesawah-pesawah di situ.

Banjir yang melanda kawasan itu pada Ahad menyaksikan sekurangkurangnya dua lot tanah atau 5 ekar terhakis dan musnah.

Sugit yang mendakwa kehilangan 1.5 ekar tanah sawah dalam tempoh sebulan memberitahu; “Sungai itu sedang menganas dan belum ada sebarang tanda positif dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan untuk menangani”.

“Mereka berbelah untuk memberikan pelbagai teori untuk menangani masalah itu,” tambah Sugit dan memberitahu, pesawah benar-benar kecewa dengan tolak dalik mereka yang memiliki kuasa untuk mengatasi masalah hakisan itu.

Masalah hakisan itu berlaku sejak tahun 1996 atau kira-kira 15 tahun yang lalu, dan menurut penduduk hanya jaminan demi jaminan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan, namun tindakan pelaksanaan seperti menambak tebing itu tidak pernah menjadi kenyataan.

“Ramai di antara kami telah kehilangan tanah sawah,” dedah Sugit sambil menunjukkan sebahagian sungai itu yang didakwa sebahagian daripada lot tanahnya yang bergeran.

Aliran sungai semasa sungai itu menghala ke Kg. Tuarid Toud dan berada kira-kira 1 km daripada laluan asal.

Beberapa rumah penduduk hanya terletak kira-kira 20 meter daripada tebing sungai itu, dan Gugit yakin ia hanya menunggu masa menyembah sungai yang sedang menganas itu.

Sejak lebih 15 tahun yang lalu pesawah yang mengungsi di pesisiran sungai itu mendakwa kerugian beratus ribu ringgit, kehilangan tapak menghasilkan padi untuk mendapatkan beras, kehilangan tempat tinggal serta tempat bercucuk tanam tanaman kontan.

Projek pengorekan pasir yang dijalankan oleh sebuah syarikat di situ, dianggap sebahagian penyumbang hakisan yang berlaku selain fenomena alam.

Bagaimanapun Tobiad Bin Godog, 44, yang turut mengalami nasib yang sama dengan Sugit berkata, ia tidak sepatutnya berlaku jika aduan awal yang dikemukakan oleh penduduk sejak 15 tahun yang lalu diambil perhatian dan tindakan.

Namun katanya, sikap terlalu berserah dan menyalahkan kejadian alam, di samping terlalu banyak teori yang dikemukakan oleh pihak berkuasa tempatan menyebabkan lot-lot tanah sawah penduduk tidak dapat diselamatkan.

“Apabila kami kehilangan tempat bersawah, ini bermakna kami kehilangan tempat untuk mencari rezeki,” jelas Puan Margaret Binti Kulinog, 44 dan berkata; “Kesabaran kami sudah berakhir,”.

Jabatan Parit dan Saliran pula menurut Sugit terlalu takut untuk bertindak, atas alasan bimbang dituduh bersubahat jika memberikan kebenaran kepada syarikat-syarikat pengusaha batu dan pasir untuk menambak tebing sungai itu.

Wakil Rakyat di kawasan itu pula dikatakan terlalu sukar untuk mendapatkan peruntukan untuk tujuan tersebut.

“Akhirnya beginilah nasib kami,” keluh pesawah-pesawah di kampung itu dan bertanya, kepada siapa lagi tempat mereka untuk mengadu.

Tahun lalu sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menangani masalah hakisan Sungai Pegalan, tetapi keberkesanan jawatankuasa itu masih menjadi tanda soal dan sehingga kini projek penambakan seperti yang dipersetujui melalui beberapa sesi mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan, masih belum dilaksanakan.

“Kami semakin kehilangan arah,” demikian kekecewaan pesawah-pesawah di kampung itu, dan merayu kepada kerajaan supaya membantu mereka.

Tiada ulasan: