Jumaat, 18 Mac 2011

Zaid Soldadu Umno Senada Dengan Perkasa, Gaps

Oleh Suara Keadilan

NNMalang sekali apabila Zaid Ibrahim terpaksa menjatuhkan maruahnya ke tahap serendah Perkasa dan GAPS dalam meneruskan dendamnya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar bukan hanya enggan menyerahkan DNA beliau kerana beliau secara perundangan tidak perlu melakukannya bahkan juga kerana pasukan pembelaan beliau tidak meyakini ketelusan sistem sedia ada.

Pendirian Anwar dan Pakatan Rakyat terhadap kes ini adalah jelas: pertuduhan yang dikemukakan adalah konspirasi yang bertujuan untuk membunuh karier politik beliau. Dalam tempoh singkat Zaid bersama KEADILAN, beliau giat menegakkan pendirian yang sama, namun pada hari ini beliau nampaknya sudah terlupa.

Apa yang jelas sepanjang perbicaraan berjalan, pihak pendakwaan telah menafikan semua permohonan pasukan pembelaan supaya mengemukakan segala bukti dan data lengkap serta sampel DNA yang diuji dari sampel yang diambil daripada tubuh dan pakaian Saiful Bukhari.

Sebagai peguam, Zaid sewajarnya mengetahui bahawa ini bercanggah dengan protokol ujian DNA dan secara otomatik mengecualikan bukti tersebut dalam mana-mana perbicaraan adil.

Penolakan tersebut menghalang pasukan pembelaan dan mahkamah untuk menilai kesahihan ujian DNA tersebut secara bebas. Penolakan ini hanya mengukuhkan pandangan bahawa pihak pendakwaan mempunyai sesuatu untuk diselindungkan dalam apa yang dikatakan ujian DNA itu. Atas sebab itu, adalah suatu penghinaan kepada prinsip keadilan untuk Anwar memberikan sampel DNA untuk membantu pendakwaan mengesahkan keputusan yang menimbulkan syak dan direka-reka.

Zaid sewajarnya ingat bahawa Saiful Bukhari Azlan, penuduh telah mengaku bertemu dengan anggota polis kanan Zaid Rodwan Mohd Yusof dua kali sebelum kejadian tersebut kononnya berlaku. Bagi menyegarkan semula memori Zaid, Rodwan lah orang yang memindahkan DNA Anwar secara haram pada perbicaraan 1998 dan meletakkanya pada tilam bagi memerangkap bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Isu DNA-DNA lelaki lain di dalam rektum Saiful masih lagi belum dijawab. Pada masa yang sama, pegawai penyiasat Jude Pereira mengakui bahawa sampel yang diambil daripada Saiful tidak disimplan di dalam peti sejuk beku, justeru mendedahkan DNA tersebut kepada kerosakan. Isu mengapa Jude menyimpan sampel-sampel tersebut selama 48 jam dan tidak menyerahkannya kepada ahli kimia serta-merta belum benar-benar dijelaskan. Pada 1998, institusi polis yang sama lah yang telah mereka bukti termasuk bukti DNA terhadap Anwar.

Sejak hari pertama, kes Anwar telah dipenuhi oleh pelbagai percanggahan dan kelemahan, dan jelas sekali sekiranya defendannya bukanlah Anwar Ibrahim kes ini akan dibuang daripada mahkamah.

Seorang itu tidak perlu menjadi penyokong tegar Anwar untuk mengesyaki kesahihan kes ini apabila Perdana Menteri Najib Tun Razak mula-mula menafikan bertemu dengan Saiful dua hari sebelum Saiful mendakwa beliau diliwat. Hanya selepas gambar-gambar Saiful di pejabat Najib diedarkan beliau mengaku bertemu dengan Saiful, mula-mula kononnya untuk membantu Saiful mendapatkan biasiswa tetapi kemudian dijelaskan bahawa Saiful datang mengadu kepada beliau bahawa beliau diliwat.

Laporan perubatan awal di Pusrawi dan Hospital Kuala Lumpur menyatakan bahawa tiada penetrasi pada dubur Saiful.

Jelas sekali bahawa pihak pendakwa memerlukan DNA Anwar untuk berada di dalam Saiful untuk membuktikan tuduhan mereka. Memandangkan kes mereka kini sudah punah, kejayaan kini diukur dengan menjatuhkan pandangan awam terhadap moral Anwar walaupun sekiranya mahkamah mendapati beliau tidak bersalah.

Sukar untuk dipercayai seorang yang terlatih dalam bidang undang-undang dan memahami keadaan sistem kehakiman negara selepas krisis 1988 tiba-tiba percaya dengan integriti sistem ini.

Percubaan Zaid untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat dengan dakwaan beliau bahawa PAS tidak bersuara dalam kes ini menunjukkan kejahilan beliau tentang sokongan PAS serta prinsip asas dalam syariah bahawa tiada sesiapapun boleh didapti bersalah tanpa kesaksian empat saksi yang adil dan berwibawa.

Nik Nazmi Nik Ahmad ,Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat

Tiada ulasan: